• Keadaan di Makkah terkawal

    Published: Saturday, 29 July 2017
    A- A+
    KEADAAN di Kota Suci Makkah masih terkawal dan jemaah haji Malaysia boleh bergerak bebas untuk beribadat di Masjidil Haram.

    Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) 1438 Hijrah Nurinn Anuwar Shamsuddin berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa bekerjasama rapat dengan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral di Jeddah mengenai aspek keselamatan.

    Menurutnya, setakat ini, TH tidak menerima sebarang arahan untuk berjaga-jaga daripada mereka.

    "Apa yang boleh saya katakan ialah keadaan di Makkah ketika ini masih terkawal dan jemaah haji boleh bergerak bebas untuk beribadat di Masjidil Haram dan sebagainya," katanya pada sidang media di ibu pejabat TH di Abraj Al -Janadriyah Makkah, hari ini.

    Bagaimanapun, katanya, jemaah haji dinasihatkan supaya peka dengan keadaan sekeliling dan hanya memberi tumpuan kepada ibadat dengan tidak menyertai sebarang perhimpunan tidak sepatutnya.

    Sebelum ini, media melaporkan Malaysia mengutuk serangan peluru berpandu ke atas Makkah dan berharap pelakunya dibawa ke muka pengadilan.

    Kementerian Luar dalam satu kenyataan menyifatkan perbuatan keji yang dilancarkan puak Houthi Yemen tu boleh mengancam keselamatan jemaah haji.

    Menurut kenyataan itu, Malaysia juga berdiri teguh dalam ikatan perpaduan dengan Arab Saudi dalam memelihara keselamatan dan kesucian kedua-dua kota suci Makkah dan Madinah.

    Pasukan keselamatan Arab Saudi, Khamis lalu berjaya memintas sebuah peluru berpandu balistik dikenali sebagai ‘Burkan-1’ yang disasarkan 69 kilometer dari Makkah di kawasan Al-Wasliya di Wilayah Yaif.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat serangan berkenaan.

    Wisma Putra berkata, Malaysia berharap konflik yang berterusan di Yemen dapat diselesaikan secara aman.

    Berdasarkan laporan media antarabangsa, puak Houthi pada Jumaat mengesahkan melancarkan peluru berpandu balistik Burkan-1 ke Arab Saudi tetapi berkata, serangan itu disasarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, lapangan terbang paling sibuk di negara itu. - HMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Keadaan di Makkah terkawal "