• Kampus Muzium Sarawak Bernilai RM300 Juta Siap 2020

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+

    KUCHING: Kampus Muzium Sarawak yang bernilai RM300 juta dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

    Beliau berkata, pada masa ini projek tersebut mencapai tahap 37 peratus dan mampu disiapkan mengikut jadual.

    Menurutnya, kampus tersebut akan dijadikan pusat penyimpanan dan memulihara koleksi budaya dan sejarah Sarawak.

    "Kita amat bangga dengan sejarah dan budaya negeri kita. Dengan siapnya kampus ini nanti, ia akan dijadikan pusat pameran dan pemuliharaan bagi segala peninggalan budaya serta sejarah negeri," katanya.

    Karim turut melahirkan rasa kagum dengan keluasan kampus tersebut.


    "Dengan keluasan seperti ini, pasti banyak peluang pekerjaan baharu disediakan bagi memenuhi keperluan kampus ini nanti," ujarnya.

    Menurutnya, kampus tersebut akan dilengkapi ruang pameran untuk paparan artifak dan warisan.

    Pembangunan bangunan Kampus Muzium Sarawak adalah merupakan hasil kerjasama dengan perunding dalam dan luar negara termasuk Singapura serta England.

    Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Pengarah Muzium Sarawak Ipoi Datan. - Sarawakiana
  • No Comment to " Kampus Muzium Sarawak Bernilai RM300 Juta Siap 2020 "