• Jemaah haji boleh beli kad SIM STC tanpa perlu tunjuk pasport, visa

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    MADINAH: Jemaah haji Malaysia boleh membeli kad SIM telefon syarikat Saudi Telecommunications Company (STC) dengan hanya menggunakan kad tanda pengenalan tanpa perlu menunjukkan pasport dan visa.

    Ini berikutan kerjasama dan persefahaman di antara Tabung Haji (TH) dan STC bagi memudahkan jemaah haji Malaysia.

    Timbalan Ketua (Kebajikan Jemaah) Musim Haji Malaysia 1438H, Nurrin Anuwar Shamsuddin, berkata nombor pasport yang tertera pada tanda pengenalan itu boleh digunakan untuk pendaftaran kad SIM.

    "Petugas STC akan mengimbas cap jari jemaah di kaunter atau kiosk ketika pendaftaran dan caj yang dikenakan untuk kad SIM ini adalah Saudi Riyal (SR) 30 (RM34.20), dengan kredit sedia ada bernilai SR25 (RM28.50).

    "Mereka juga akan membantu jemaah memasukkan kad SIM ini ke dalam telefon bimbit jemaah untuk mengaktifkan talian, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia kekal berhubung dengan keluarga," katanya dalam kenyataan.

    Nurrin berkata, proses pendaftaran itu berbeza dengan syarikat telekomunikasi lain di Arab Saudi kerana mereka memerlukan beberapa maklumat seperti butiran pasport dan visa haji.

    Sehubungan itu, katanya, jemaah Malaysia yang berhasrat mendapatkan kad SIM syarikat telekomunikasi lain perlu menyimpan salinan atau mengambil gambar butiran peribadi, termasuk nombor visa haji di pasport mereka.

    "Mereka perlu berbuat demikian kerana sebaik tiba di Arab Saudi, jemaah haji dikehendaki menyerahkan pasport kepada muassasah.

    "Oleh itu, jemaah dinasihatkan supaya memilih perkhidmatan disediakan STC kerana prosesnya lebih mudah berbanding syarikat telekomunikasi lain," katanya.

    Sementara itu, Telekom Malaysia Bhd turut menawarkan perkhidmatan i-Talk untuk jemaah haji membuat panggilan ke Malaysia dengan kadar berpatutan, iaitu SR1 (RM1.14) setiap minit.

    Perkhidmatan i-Talk berkenaan boleh didapati di semua hotel dan bangunan penginapan jemaah haji Malaysia. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jemaah haji boleh beli kad SIM STC tanpa perlu tunjuk pasport, visa "