• Jawatan 2 Timbalan Ketua Polis satu keperluan- TPM

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+

    BATU PAHAT - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan untuk mewujudkan jawatan dua Timbalan Ketua Polis Negara merupakan satu keperluan.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, keputusan tersebut akan dibuat selepas mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang akan meluluskan atau menolak cadangan berkenaan.

    “Saya tidak menolak, tidak mengesahkan atau menafikan analisis (berkenaan jawatan dua Ketua Polis Negara) yang dibuat melalui akhbar mengenai keperluan wujudkan dua jawatan tersebut.

    “Saya yang akan mempengerusikan mesyuarat SPP tersebut nanti dan pengumuman mengenainya akan dibuat selepas itu.

    “Walau bagaimanapun memang terdapat keperluan untuk mewujudkan lagi seorang Timbalan Ketua Polis Negara,” katanya.

    Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Pahat di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.

    Yang turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat dan Timbalannya, Zaidi Japar.

    Zahid berkata, selain perkara itu, rancangan untuk menaik taraf Unit Anti Keganasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Jabatan Anti Keganasan juga akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

    Jelasnya, jabatan tersebut nanti merupakan satu entiti berbeza dan lebih fokus kepada peranan untuk menangani kegiatan keganasan.

    “Personaliti yang akan dilantik (untuk menerajuinya) jika diluluskan dalam mesyuarat SSP dan atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong serta nasihat Perdana Menteri, maka pengesahan akan dilakukan atau sebaliknya,”

    “Kita wujudkan Jabatan Anti Keganasan kerana kita tahu ancaman keganasan bukan semakin berleluasa di rantau ini tapi kita mahu kukuhkan dan membesarkan keanggotaan Unit Anti Keganasan dengan naik taraf ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Jawatan 2 Timbalan Ketua Polis satu keperluan- TPM "