• Jangan percaya sindiket tawar ‘lesen terbang’ – JPJ

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+

    Umpama perkara yang tak sudah-sudah apabila masih ada sindiket yang berani menawarkan perkhidmatan mendapatkan lesen memandu tanpa perlu menjalani ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi laman media sosial terutama Facebook.

    Justeru, JPJ meminta agar orang ramai tidak terpedaya dengan penawaran oleh sindiket haram ini.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, sebelum ini ada pihak yang menjual lesen memandu palsu pada harga antara RM1,000 hingga RM1,500 yang tidak akan disenaraikan dalam sistem JPJ, laporan Bernama.

    “Perkara ini kita telah laporkan kepada polis untuk siasatan lanjut kerana ia tidak benar dan baru-baru ini kes yang sama muncul di Perak dan hal ini ada dalam perhatian kita. Setakat ini perkhidmatan dalam talian hanya boleh dibuat pada portal rasmi JPJ sahaja dan hanya ada tujuh transaksi sahaja yang boleh dibuat dalam portal kita,” ujar beliau kepada pemberita kelmarin.

    Kata beliau, sehingga kini pihaknya tidak melantik mana-mana ejen untuk membuat sebarang perkhidmatan.

    “Perkara ini berlaku kebiasaannya berlaku apabila mangsa melakukan transaksi dalam talian untuk mendapatkan lesen tapi tertipu. Kebanyakan mereka telah membuat pembayaran tetapi lesen palsu tidak sampai kepada mereka. Saya nasihatkan kepada orang ramai terutamanya jika ada apa-apa dalam Facebook mengenai kita (JPJ) atau apa-apa agensi kerajaan, sila rujuk terlebih dahulu sama ada perkara itu sahih ataupun tidak,” katanya. - Paultan

    Subjects:

  • No Comment to " Jangan percaya sindiket tawar ‘lesen terbang’ – JPJ "