• James Masing Dedah Pihak Lemahkan Dayak

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+

    Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing mendedahkan terdapat pihak tertentu yang sentiasa berusaha memecahbelahkan kaum Dayak untuk kekal berkuasa di negeri ini.

    Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, parti pimpinannya merupakan parti Dayak terbesar turut berhadapan cabaran tersebut iaitu dihalang berkembang dari segi saiz dan pengaruh oleh kumpulan berkenaan, lapor FMT

    Beliau mendedahkan itu menerusi wawancara ekslusif bersama portal tersebut yang merupakan portal berita atas talian yang berpangkalan di Semenanjung.

    Menurut laporan FMT, Masing antara lain mendedahkan terdapat campur tangan kumpulan tertentu dalam urusan PRS yang bertujuan untuk menghalang parti itu berkembang.

    “Kami hadapi masalah berkembang kerana ada orang campur tangan dalam urusan kami, tidak kira pembangkang atau Barisan Nasional (BN) sendiri.

    “Orang Dayak tidak dibenarkan menjadi terlalu kuat kerana kami kumpulan majoriti. Sesetengah orang anggap kami gergasi lapar dan jika kami terlalu kuat, kami akan makan mereka,” katanya.

    Menurut Masing, dua halangan utama yang dihadapi komuniti Dayak menyebabkan ianya gagal menjadi kuasa politik dominan meskipun kaum Dayak adalah kaum majotiti di negeri ini.

    “Pertama ialah usaha berterusan komuniti tertentu selama beberapa dekad untuk memecahbelahkan orang Dayak bagi memastikan komuniti mereka kekal berkuasa,” katanya dipetik FMT

    Beliau bagaimanapun mengakui, halangan kedua datang dari komuniti Dayak itu sendiri.

    “Etnik Dayak perlu belajar cara tidak menyalahkan orang lain atas kesusahan sendiri, kesilapan politik dan ketidakstabilan mereka. Kita mesti mengkaji diri untuk mencari di mana salah kita. Hanya cara itu kita boleh berkembang,” tegasnya. – Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " James Masing Dedah Pihak Lemahkan Dayak "