• Irfan Raih Perak Lempar Cakera Di ATF India

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin meraih pingat perak pada Kejohanan Balapan dan Padang Asia (ATF) ke-22 di Bhubaneswar, India, semalam.

    Muhammad Irfan melakukan balingan sejauh 60.96 meter (m) pada percubaan kelima untuk membolehkannya menduduki tempat kedua pada aksi final berkenaan, sekali gus menjadi atlet pertama negara meraih pingat di kejohanan itu.

    Pada percubaan pertama, atlet berusia 22 tahun dari Negeri Sembilan, yang juga penghuni ranking ke-44 Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) tahun ini mencatatkan balingan sejauh 50.93m, manakala 50.83m pada balingan kedua, 57.53m (ketiga), batal (keempat), 60.96m(kelima) dan batal (keenam).

    Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, berkata ia satu keputusan positif kerana Muhammad Irfan dapat melakukan lontaran melebihi 60m.

    "Amat menggalakkan apabila Muhammad Irfan terus menunjukkan kemajuan dan melakukan balingan melebihi 60m.

    "Keputusan hari ini membuktikan dia masih mampu bersaing dengan pencabar terbaik di Asia. Tahniah kepada Muhammad Irfan dan jurulatih, Franc Petrovic," kata Zainal kepada BH Online.

    Pingat emas menjadi milik pemegang rekod Asia, Ehsan Haddadi dari Iran dengan lemparan sejauh 64.54m manakala gangsa diraih Vikas Gowda dari India jarak 60.81m.

    Seramai 16 atlet beraksi di peringkat akhir acara lempar cakera lelaki dalam kejohanan yang disertai 45 negara itu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Irfan Raih Perak Lempar Cakera Di ATF India "