• Insiden Tembakan Di Kedutaan Israel, Dua Maut

    Published: Monday, 24 July 2017
    A- A+


    AMMAN: Dua rakyat Jordan terbunuh dan seorang pelancong Israel cedera dalam insiden tembakan di bangunan Kedutaan Israel di ibu negara Jordan pada lewat Ahad.

    Menurut laporan Jabatan Keselamatan Awam Jordan, sebelum kejadian itu berlaku, sejumlah rakyat Jordan memasuki bangunan terbabit untuk kerja-kerja pertukangan.

    Bagaimanapun tidak dapat dipastikan pihak yang melepaskan tembakan tersebut.

    Jelas jabatan itu, pada mulanya tiga mangsa cedera dalam kejadian terbabit tetapi dua rakyat Jordan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
    Seorang daripada mangsa yang terbunuh merupakan ahli fizik.

    Kementerian Luar Israel bagaimanapun enggan mengeluarkan sebarang komen berhubung kejadian itu.

    Sementara itu, portal Al Jazeera melaporkan, pihak keselamatan Jordan mengerahkan anggotanya untuk berkawal di luar kedutaan rejim Zionis itu.

    Kejadian berkenaan berlaku ketika ketegangan antara Palestin dan Israel semakin memuncak ekoran keputusan kontroversi rejim Zionis memasang alat pengesan logam di sekitar Masjid Al Aqsa.

    Ketegangan tersebut menyaksikan tujuh orang terbunuh, tiga daripadanya penduduk haram Israel dan empat rakyat Palestin.- mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Insiden Tembakan Di Kedutaan Israel, Dua Maut "