• ‘Inilah Langkah Kajang Sebenar’ – Sindir PM

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+

    SIAPA boleh lupa ‘Langkah Kajang’ atau Kajang Move sebelum ini dikenali sebagai strategi politik PKR konon untuk menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor baharu.

    Langkah ‘tempang’ itu akhirnya gagal teruk apabila Anwar langsung tidak jadi menteri besar untuk pecah rekod bukan anak jati Selangor yang pertama malahan lebih teruk beliau kemudian dipenjarakan atas kesalahan liwat.

    Manakala isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR hanya menjadi ADUN biasa bagi menggantikan Lee Chin Cheh apabila penyandangnya itu terpaksa ‘berkorban’ kerusi tersebut demi strategi parti.

    Sebaliknya yang untung daripada strategi ‘bodoh’ Rafizi Ramli itu ialah Datuk Seri Azmin Ali dan sehingga kini ramai menganggap Langkah Kajang sebagai tindakan politik paling gagal dilaksanakan pakatan pembangkang.

    Ini kerana hasil langkah tersebut juga PKR kehilangan Tan Sri Khalid Ibrahim, menteri besar paling cemerlang sebagai mana ditegaskan Anwar, bahkan hilang sokongan padu PAS dan lebih teruk, ‘berkuburnya’ Pakatan Rakyat.

    Bayangkanlah Khalid terpaksa dipecat parti konon atas masalah disiplin, gara-gara enggan lepas jawatan menteri besar untuk diserahkan kepada Wan Azizah tetapi lucunya, isteri Anwar itu pula tidak diperkenan Istana Selangor!

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin melalui status Facebook rasmi beliau turut menyindir kisah kegagalan misi Langkah Kajang yang pernah digerakkan oleh pakatan pembangkang pada 2014 lalu.

    Melalui sekeping gambar memaparkan laluan menuju ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Kajang, Beliau dalam nada sinis berkata, kemudahan pengangkutan awam mega berkenaan merupakan Langkah Kajang yang sebenar.

    “Inilah Langkah Kajang yang sebenar. Bakal menemui anda dalam tempoh tujuh hari lagi,” kata Najib menerusi laman Facebooknya pada Selasa yang turut menerima lebih 5,000 tanda suka selain dikongsi kira-kira 700 kali.

    Untuk rekod fasa dua projek MRT laluan Semantan-Kajang akan dilancarkan pada 17 Julai ini yang tarikhnya turut dipilih beliau sendiri kerana keunikannya mudah diingati iaitu 17.07.17 daripada jadual asalnya pada 1 Ogos depan.

    Fasa kedua itu akan melengkapkan jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer yang dilancarkan pada 16 Disember lalu dan secara kebetulan tarikhnya juga agak unik iaitu 16.12.16. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Inilah Langkah Kajang Sebenar’ – Sindir PM "