• Ibu Bapa Hilang 75 Tahun Ditemui Dalam Glasier

    Published: Wednesday, 19 July 2017
    A- A+


    GENEVA: Mayat pasangan suami isteri yang dilaporkan hilang di pergunungan Diablerets kira-kira 75 tahun lalu, ditemui dalam glasier yang mencair, sekali gus mengakhiri penantian tujuh anak mereka, lapor media Switzerland, hari ini.

    Menurut akhbar Le Matin, mayat pasangan itu ditemui terbaring berhampiran satu sama lain di kawasan pergunungan Diablerets di selatan Switzerland, lengkap dengan peralatan seperti beg sandang, botol, buku dan jam.

    Ketua resort ski Glacier 3000, Bernard Tschannen memberitahu Le Matin mayat itu ditemui pada Khamis lalu.

    "Ia adalah mayat seorang lelaki dan seorang wanita yang memakai pakaian dari perang dunia.

    "Mayat mereka berada dalam keadaan baik kerana dilitupi ais, malah barang milik mereka juga masih dalam keadaan baik," kata Tschannen yang percayai pasangan itu jatuh di dalam lurah yang dalam menyebabkan mereka gagal ditemui pasukan penyelamat ketika itu.

    Justeru, satu ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan dijalankan bagi mengesahkan identiti mayat itu.

    Namun, Marceline Dumoulin yang dipetik Le Matin, berkata beliau yakin mayat itu adalah ibu bapanya yang hilang pada 15 Ogos 1942.

    Marceline Dumoulin, 40, seorang pembuat kasut dan isterinya, Francine, 37, seorang guru sekolah dikatakan meninggalkan kediaman mereka di perkampungan Chandolin untuk mengembala lembu di kawasan pergunungan.

    Misi pencarian dijalankan selama lebih dua bulan dan akhirnya tujuh anak mereka, iaitu lima lelaki dan dua perempuan terpaksa dihantar ke rumah anak yatim.

    "Kami menghabiskan seluruh hidup kami untuk mencari mereka, tanpa henti. Kami tidak pernah menyangka dapat mengadakan majlis pengebumian yang sepatutnya untuk mereka," kata Dumoulin, yang berusia empat tahun ketika kejadian berlaku kepada Le Matin.


    - Agensi/Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Ibu Bapa Hilang 75 Tahun Ditemui Dalam Glasier "