• Harap Beli Telefon Dapat Lesung Tak Berulang

    Published: Friday, 14 July 2017
    A- A+



    Pesan barang lain dapat barang lain dan iklan sewakan rumah bapa yang masih diduduki antara 1,428 aduan penipuan urus niaga dalam talian yang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tahun ini.

    Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, daripada jumlah itu, 50 kandungan iklan sudah disekat.

    "Kes paling popular ialah pengguna beli barang lain, yang diterima pula barang lain. Contohnya pernah ada kes beli telefon namun yang sampai lesung batu.

    "Barang yang diterima tidak sama seperti barang yang diiklankan juga antara kes paling popular," katanya di Putrajaya, hari ini.

    Menurutnya, tahun lalu, jumlah aduan yang diterima ialah 2,279 kes dan sebahagiannya sudah diambil tindakan.

    Mohd Roslan berkata kes paling unik pada tahun lalu membabitkan seorang lelaki menyewakan rumah bapanya.

    "Deposit sudah diberi kepada lelaki itu dan apabila penyewa nak masuk rumah, ia sebenarnya masih diduduki bapa lelaki terbabit. Rupa-rupanya rumah itu diiklankan tanpa pengetahuan bapanya," katanya.

    Bagaimanapun menurutnya, kes itu berjaya diselesaikan dan wang deposit dikembalikan kepada penyewa.

    Mohd Roslan berkata kes penipuan urus niaga dalam talian boleh diambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011, selain kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menghalang akses ke laman web tidak bertanggungjawab.

    Beliau berkata, bagi mendapatkan ganti rugi jika berlaku sebarang penipuan, mangsa boleh membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna dan sesetengah platform turut menyediakan mekanisme "online dispute resolutions" dan "redress channel" mereka sendiri.

    Beliau menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati semasa membuat urusniaga dalam talian antaranya dengan menyemak harga dan rekod penjual. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Harap Beli Telefon Dapat Lesung Tak Berulang "