• Gesaan boikot IPO Edra Energy ‘sabotaj ekonomi’

    Published: Thursday, 6 July 2017
    A- A+
    PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini menggesa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menarik balik gesaannya kepada pengurus dana Malaysia supaya memboikot cadangan penyenaraian Edra Energy di Bursa Malaysia.

    Katanya, saranan memboikot yang tidak masuk akal itu boleh melemahkan keyakinan pelabur asing di Malaysia dan menyebabkan Edra serta syarikat lain tidak membuat penyenaraian di Bursa Malaysia, sebaliknya memilih membuat penyenaraian di bursa saham negara lain.

    “Tindakan berbahaya dan tidak prihatin ini boleh disifatkan sebagai mensabotaj ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Rahman berkata, ahli Parlimen Pandan itu sepatutnya menyerahkan kepada pengurus profesional dana tempatan memutuskan sama ada melabur dalam Edra merupakan tindakan munasabah dari segi perniagaan bagi mereka atau sama ada ia sejajar strategi pelaburan mereka.

    Dalam kenyataan semalam, Rafizi menyeru pelabur institusi Malaysia yang bertanggungjawab bagi dana awam memboikot tawaran awal awam (IPO) Edra Energy serta mengaitkan syarikat itu dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Rahman berkata, melalui Edra Energy, 1MDB memenuhi matlamatnya untuk melakukan reformasi terhadap industri Loji Tenaga Bebas (IPP) yang sebelum ini dikatakan pembangkang mempunyai banyak perjanjian berat sebelah yang memberi kelebihan kepada syarikat pemegang konsesi.

    Anehnya, kata beliau, perjanjian berat sebelah yang disebut pembangkang itu ditandatangani pada era pentadbiran seorang bekas perdana menteri yang kini menyertai pembangkang dan menjadi rakan Rafizi.

    Rahman berkata, selepas 1MDB menceburkan diri dalam perniagaan IPP, kerajaan pertama kalinya membuat tender terbuka mengenai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) pada September 2012.

    “1MDB selalunya meletakkan bidaan terendah bagi setiap PPA baharu atau yang diperbaharui, sekali gus membantu menurunkan harga PPA bagi semua pembida,” katanya.

    Hasilnya, kata beliau, banyak PPA yang sebelum ini didakwa berat sebelah, kini lebih adil hingga mengundang sebuah bank pelaburan utama mengisytiharkan dalam laporan analisisnya perjanjian yang hanya menguntungkan sebelah pihak berkaitan IPP suatu masa dulu, kini menjadi sejarah.

    Rahman berkata, penjimatan hasil daripada kadar PPA yang lebih adil kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan subsidi gas Petronas – dan selanjutnya kepada kerajaan – dianggarkan berjumlah sehingga RM200 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang.

    “Hasil ini dapat dilihat dengan amat ketara hari ini. Daripada mencatat kerugian dan memerlukan bantuan kerajaan suatu ketika dulu, kadar dan terma IPP yang lebih adil sekarang, yang sebelum ini meliputi hingga 40% daripada kosnya, membolehkan TNB kini melaporkan jumlah keuntungan belum pernah dicatat sebelumnya.

    “Ini menyebabkan bil bagi subsidi gas Petronas pada 2015 berkurangan sebanyak satu pertiga daripada jumlahnya pada 2012, penjimatan sebanyak RM10 bilion,” kata beliau.

    Rahman berkata, penjimatan besar itu kini dibelanjakan semula untuk projek dan kebajikan rakyat, manakala harga tenaga elektrik pula berada pada paras rendah unhtuk semua orang.

    “Ini jugalah sebabnya kenapa sejak 2013, pembangkang tidak lagi bercakap tentang perjanjian IPP yang berat sebelah kerana kerajaan sekarang menyelesaikan masalah yang menjadi legasi sejak sekian lama itu melalui 1MDB,” katanya.

    Rahman berkata, 1MDB menjual Edra Energy kepada pelabur asing melalui satu tender terbuka antarabangsa dan kini ia tidak lagi mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengan Edra Energy.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Gesaan boikot IPO Edra Energy ‘sabotaj ekonomi’ "