• Everton menang tapi Rooney tenggelam

    Published: Friday, 28 July 2017
    A- A+

    LIVERPOOL: Aksi sulung Wayne Rooney bersama Everton di Goodison Park berakhir dengan kemenangan 1-0 ke atas pasukan Slovakia, Ruzomberok tetapi bekas penyerang Manchester United itu tampak tenggelam dalam pertemuan kelayakan pertama pusingan ketiga Liga Europa itu.

    Penyerang 31 tahun itu menerima tepukan gemuruh sebaik kembali ke kelab zaman remajanya selepas menikmati tempoh yang gemilang selama 13 tahun di Old Trafford.

    Tetapi dengan beraksi di posisi kegemarannya selaku penyerang, Rooney bagaimanapun gagal memberi ancaman ke gawang Ruzomberok dan hanya lebih berkesan selepas peranannya ditukar ke sayap kanan.

    Pertukaran posisi penyerang England itu dibuat selepas pengendali Everton Ronald Koeman membawa masuk seorang lagi penyerang baharu, Sandro Ramirez pada minit ke-61.

    Selepas pertukaran itu, hanya empat minit diperlukan The Toffees untuk mendahului perlawanan menerusi cubaan Leighton Baines yang gagal diselamatkan penjaga gol Ruzomberok, Matus Macik.

    Malah Koeman membayangkan Ramirez, yang semakin menyesuaikan diri di Everton, bakal memulakan aksi kedua di Slovakia Khamis depan, sekali gus bermakna Rooney mungkin diberi peranan di bahagian sayap.

    Ditanya mengenai pandangannya terhadap aksi kompetitif pertama Rooney, Koeman berkata: "Bagus dan positif. Dia bekerja keras. Semakin positif selepas empat aksi pra musim." - REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " Everton menang tapi Rooney tenggelam "