• Enggan Tandatangani IBR: Bukti Kerajaan Negeri Pimpinan DAP Hipokrit - Ismail Sabri

    Published: Tuesday, 18 July 2017
    A- A+

    TAMPIN: Keenganan kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir DAP menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan kerajaan negeri itu mengamalkan sikap hipokrit, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata ini bertentangan dengan manifesto pakatan pembangkang yang digelar Pakatan Harapan yang sebelum ini yang memasukkan agenda membasmi rasuah dalam tempoh 100 hari jika berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

    "Meskipun Barisan Nasional (BN) ditohmah dengan pelbagai fitnah termasuk mengamalkan rasuah, namun kesemua negeri yang ditadbir BN telah pun menandatangani IBR," kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    "Malah Kementerian (Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), kita juga telah menandatanganinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Desa Perdana peringkat negeri Zon Tengah dan Selatan di sini, hari ini.

    Pada Sabtu lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dipetik sebagai berkata SPRM kesal dengan keengganan kerajaan Pulau Pinang menandatangani IBR yang merupakan komitmen bagi sesebuah institusi untuk bersama-sama memerangai musuh nombor satu negara itu.

    Pada 12 Julai lepas, kerajaan Pulau Pinang menyifatkan prinsip Cekap, Amanah dan Telus (CAT) yang dilaksanakan di negeri itu sejak 2008 lebih berkesan dalam usaha membasmi rasuah dan penyalahgunaan kuasa berbanding menandatangani IBR. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Enggan Tandatangani IBR: Bukti Kerajaan Negeri Pimpinan DAP Hipokrit - Ismail Sabri "