• Ekonomi Digital Akan Rancakkan Pembangunan Sarawak

    Published: Tuesday, 18 July 2017
    A- A+
     

    KUCHING: Generasi muda harus memahami kepentingan dan impak digital teknologi terhadap kehidupan seharian khususnya dalam konteks usaha kita untuk membangunkan ekonomi Sarawak ke arah ekonomi digital.

    Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata, dalam proses penyesuaian yang berterusan ini, Universiti Swinburne telah membantu merangka halatuju ekonomi Sarawak ke arah ekonomi digital.

    “Proses penyesuaian yang beterusan dalam bidang digital menjadikan bidang teknologi informasi dan komunikasi (ICT) satu bidang yang memacu pertumbuhan ekonomi dan penghasilan peluang pekerjaan,” kata ketua menteri ketika menyempurnakan pelancaran “Big Day In Sarawak” dan majlis menandatangani MoU di antara Universiti Teknologi Swinburne dan Persatuan Komputer Australia di sini, hari ini.

    Tambah beliau, data daripada kajian yang telah disediakan oleh makmal MSC melaporkan bahawa terdapat kekurangan graduan dalam bidang ICT di antara 5,000 ke 7,000 orang sekitar tahun 2014 hingga 2017.

    “Kerajaan negeri telah memberikan keutamaan yang besar bagi membangunkan ekonomi digital maka, kita harus memastikan golongan muda berminat dalam bidang ICT dan bidang-bidang yang berkaitan,” tambah beliau.


    Menurut beliau, kerajaan negeri telah berhubung dengan pelbagai organisasi pekerjaan untuk bekerjasama dengan pihak sekolah dan institut pengajian tinggi melalui peluang untuk melakukan latihan industri dan biasiswa lain untuk menarik minat penyertaan golongan muda.

    “Dua minggu yang lalu, saya telah mengarahkan pihak Yayasan Sarawak supaya menyediakan biasiswa bagi kursus-kursus berkaitan ICT sama ada bagi kursus pra-siswazah dan pasca-siswazah.

    “Kita berharap, dengan adanya kemudahan ini Sarawak akan dapat melahirkan lebih ramai jurutera, pereka dan pengaturcara perisian bagi mengukuhkan keperluan asas yang diperlukan ke arah ekonomi digital.” tambah beliau.

    Ujarnya, untuk bersaing dengan efektif pada abad ke-21, kita harus berubah dan kita tidak boleh kekal melakukan urusan menggunakan kaedah tradisional.

    Tegas beliau, Sarawak perlu berubah untuk menerima kepentingan teknologi digital.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sru Datuk Amar haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee dan Timbalan Naib Chanselor, dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, Professor janel Gregory. - Sarawakiana
  • No Comment to " Ekonomi Digital Akan Rancakkan Pembangunan Sarawak "