• e-Pembelajaran Sepenuhnya Di Universiti 2020

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    AYER KEROH: Semua modul pengajaran di universiti awam dan swasta di seluruh negara dijangka mempraktikkan 100 kaedah e-Pembelajaran menjelang tahun 2020.

    Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata evolusi e-Pembelajaran secara dalam talian itu pada masa kini mencapai 50 peratus, berbanding 35 peratus yang disasarkan kementerian menerusi kerangka kerja Evolusi e-Pembelajaran pada tahun 2025.

    "Dengan penubuhan Pusat e-Pembelajaran Negara (NeLC), ia membantu mempercepatkan pertumbuhan kaedah pengajaran baharu dalam talian dan digital oleh semua universiti awam dan swasta di seluruh negara.

    "Bagi mendepani cabaran perkembangan sistem pendidikan, terutama bersaing dalam Revolusi Industri 4.0, universiti perlu berubah, termasuk menyediakan pelbagai modul pendidikan baharu yang memenuhi kehendak pasaran, " katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan NeLC bersempena Karnival e-Pembelajaran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

    NeLC berperanan sebagai pusat utama bagi merancang, menyelaras dan memantau pembangunan e-Pembelajaran dan pelaksanaan inisiatif yang dilaksanakan oleh setiap pusat pengajian tinggi di seluruh negara merangkumi universiti awam dan swasta, politeknik serta kolej komuniti.

    Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Naib Canselor UTeM, Datuk Dr Shahrin Sahib.

    Ditanya kemungkinan berlakunya pengurangan tenaga kerja pada masa depan susulan lonjakan Evolusi Industri 4.0, Idris berkata, pihaknya berpendapat sebaliknya termasuk percaya akan wujud lebih banyak peluang pekerjaan baharu seiring perkembangan semasa.

    "Akademi dan industri pada masa depan bergerak seiring. Koloborasi ini berupaya mencetuskan modul pengajian baharu yang tentunya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan baharu yang memenuhi kehendak pasaran.

    "Perubahan pendidikan secara digital sedang pesat berlaku yang tentunya meletakkan pelajar kita terus kekal relevan dalam pasaran industri pada masa depan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " e-Pembelajaran Sepenuhnya Di Universiti 2020 "