• 'Donald Carl' Penipu Warga Afrika

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    Dua lelaki Afrika ditahan selepas menipu seorang wanita warga emas dari Amerika Syarikat di sebuah pangsapuri di Setapak, Kuala Lumpur dalam serbuan kira-kira jam 4 petang, Isnin lalu.

    Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman (Risikan dan Operasi) Senior Asisten Komisioner Mohd Sakri Arifin berkata, hasil risikan dijalankan, pihaknya berjaya mengesan suspek masing-masing berusia 26 dan 33 tahun di kediaman mereka di lokasi terbabit.

    "Dalam serbuan berkenaan, kami merampas satu bungkusan mengandungi wang tunai AS$30,000 (RM128,289) yang dihantar melalui kurier oleh mangsa di dalam sebuah kereta.

    "Kami turut merampas komputer riba, telefon bimbit dan kad ATM dipercayai digunakan oleh suspek untuk berkomunikasi dengan mangsa melalui laman sosial, Facebook," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

    Mohd Sakri berkata, mangsa berusia 77 tahun itu dipercayai berkenalan dengan suspek yang dikenali sebagai 'Donald Carl' di Facebook sejak Januari lalu.

    "Suspek yang mendakwa sebagai seorang jurutera di negara ini kemudian meminta mangsa meminjamkan duit kepadanya dengan alasan digunakan untuk urusan perniagaan.

    "Mangsa yang terpedaya dengan suspek menghantar beberapa bungkusan pos bermula Februari lalu dan kali terakhir penghantaran kurier dibuat pada 20 Julai lalu iaitu dua bungkusan masing-masing mengandungi AS$30,000 dan AS$29,900 (RM128,246) hingga mengakibatkan mangsa kerugian AS$225,000 (RM962,167) dalam tempoh berkenaan," katanya.

    Katanya, kedua-dua suspek yang juga pelajar universiti swasta di Kuala Lumpur direman selama empat hari hingga 29 Julai ini.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " 'Donald Carl' Penipu Warga Afrika "