• Demi Cinta, Nenek Ditipu ‘Nigeria Scammer'

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Demi cinta, seorang nenek dari Amerika Syarikat (AS) berusia 77 tahun sanggup memberi ‘kekasihnya’ lebih RM250,000.

    Namun kisah percintaan mereka tersungkur setelah wanita berkenaan datang ke Malaysia pada 24 Julai lalu untuk bertemu ‘kekasih’ namun ‘kekasih’ gagal dihubungi.

    Berikutan itu, wanita berkenaan mengadu ke kedutaan AS pada 25 Julai lalu mendedahkan kisah mangsa ditipu ‘Nigeria Scam’.

    Menurut Timbalan Pengarah Risikan/Operasi, SAC Mohd Sakri Arifin, mangsa mula mengenali suspek pada Februari lalu dengan menggunakan media sosial, Facebook dan telefon.

    “Suspek memperkenalkan diri sebagai Donald Carl yang berkerja sebagai jurutera di Malaysia yang terlibat dengan pembinaan jalan raya dan stesen minyak.

    “Suspek telah berjaya meyakinkan mangsa untuk melabur dalam perniagaan dan berjanji akan membayar balik kepada mangsa dalam jumlah dua kali ganda.

    “Setelah itu mangsa telah membuat beberapa penghantaran wang menggunakan khidmat kurier ke alamat di Malaysia seperti diarah suspek,” jelas Sakri dalam sidang media di sini.

    Katanya, bertindak atas maklumat ejen Biro Penyasatan Persekutuan (FBI), polis berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 33 dan 26 tahun.

    Tambah beliau, suspek masuk ke Malaysia menggunakan pas pelajar.

    Dalam tangkapan di Puchong polis merampas wang tunai RM128,295 (AS$3,000), dua keping i-kad Malaysia, sekeping kad pelajar kolej, lima keping kad ATM dan dua buah telefon bimbit.

    Selain itu, satu lagi bungkusan wang berjumlah RM 127,867.35 (AS$29,900 dollar Amerika) turut dirampas malam tadi setelah bungkusan wang tersebut sampai ke Malaysia.

    Suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut seksyen 420 kanun keseksaan dan Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan 1963 dan Akta Pasport 1966 (Akta 150). – MalaysiaGazette

    Subjects:

  • No Comment to " Demi Cinta, Nenek Ditipu ‘Nigeria Scammer' "