• Datang Kutip Wang Tetapi 'Dapat' Peluru

    Published: Wednesday, 5 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seorang penyelia keselamatan mati ditembak di Kampung Segambut Bahagia Tambahan, Segambut, malam tadi.

    Dalam kejadian sekitar jam 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 25 tahun yang juga seorang penyelia keselamatan di sebuah kondominium di Sentul, ditembak ketika hendak mengutip wang dari suspek di kampung berkenaan.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata polis masih menyiasat motif kejadian dan tujuan mangsa mengutip wang di situ.

    Katanya, mangsa dilaporkan datang ke kampung berkenaan bersama seorang rakannya yang memandu sebuah kereta jenis Honda Civic bertemu dengan dua lelaki di situ.

    Tiba-tiba mangsa menjerit mengarahkan rakannya melarikan diri dengan kereta berkenaan sebelum dia sendiri terkena satu das tembakan dipercayai dilepaskan oleh seorang daripada lelaki yang ditemui mereka.

    "Tembakan terkena bahagian dada kiri mangsa sebelum rakannya membawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), bagi mendapatkan rawatan," katanya selepas Program Pencegahan Jenayah di Stesen LRT Masjid Jamek, di sini, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sekitar jam 10.15 malam sebaik tiba di wad kecemasan HKL.

    "Polis menahan reman rakan mangsa berusia 26 tahun selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan untuk membantu siasatan.

    "Kita masih mengenal pasti motif dan punca sebenar kejadian berkenaan termasuk tujuan sebenar wang yang hendak dikutip selain suspek yang terbabit," katanya.

    Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

    Dalam perkembangan Ops Selamat 11, yang berakhir Ahad lalu, Mazlan berpuas hati dengan penugasan yang dilakukan oleh semua pegawai dan anggota Polis Kontinjen Kuala Lumpur, termasuk peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis.

    Katanya, semua 10,236 pemilik kediaman yang mengisi borang balik kampung kepada Polis Kuala Lumpur bagi memastikan rumah mereka dipantau dan dikawal dilaporkan selamat dari kejadian pecah rumah dan samun.
    - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Datang Kutip Wang Tetapi 'Dapat' Peluru "