• Dasar Monetari BNM Dijangkakan Tidak Berubah

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan dasar monetari negara, kata seorang penganalisis.

    Naib Presiden FXTM bagi Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran Jameel Ahmad berkata memandangkan prestasi ekonomi tempatan lebih kukuh berbanding jangkaan tahun ini, kedudukan kadar faedah dijangka dikekalkan.

    "Tidak ada sebab sebenar untuk membuat sebarang perubahan kepada dasar kadar faedah pada masa ini.

    "Apabila anda mengambil kira kombinasi bahawa kedua-dua tekanan inflasi sudah reda dan ringgit semakin pulih, tidak ada dorongan untuk mewajarkan kenaikan kadar faedah, "katanya dalam satu kenyataan.

    Mesyuarat dasar monetari akan berlangsung pada 13 Julai, dengan keyakinan tinggi ke atas kedudukan ekonomi Malaysia berdasarkan laporan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Jumaat lepas mengenai imbangan perdagangan yang menggalakkan pada Mei.

    Dagangan Malaysia meningkat 31.5 peratus kepada RM153.3 bilion pada Mei 2017, meningkat daripada RM116.6 bilion pada bulan yang sama tahun lepas.

    "Dengan kedua-dua import dan eksport tahunan melepasi 30 peratus, wujud keyakinan bahawa momentum ekonomi Malaysia semakin kukuh, dengan menyaksikan ekonomi melangkaui jangkaan pada suku pertama (Q1) 2017 membawa kepada Q2, dan memihak kepada pengekalan dasar monetari.

    "Jika keadaan ekonomi sekarang melebihi unjuran di sepanjang separuh kedua 2017, perbincangan tentang kemungkinan kadar faedah yang lebih tinggi, akan dibincangkan semula tahun depan, "kata Jameel. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Dasar Monetari BNM Dijangkakan Tidak Berubah "