• Daripada Kem Pelarian Kini Bergelar Juruterbang

    Published: Wednesday, 12 July 2017
    A- A+

    KABUL: Seorang wanita yang dilahirkan di sebuah kem pelarian Afghanistan hampir tiga dekad lalu kini menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk mengikut jejak langkahnya.

    Shaesta Waiz, 29, merupakan wanita pertama Afghanistan yang memiliki kelayakan sebagai seorang juruterbang.

    Portal BBC melaporkan, dia yang dalam ‘perjalanan’ mengelilingi dunia secara solo kini menyasarkan untuk menjadi wanita paling muda berbuat demikian.

    Memulakan penerbangan dari Florida pada 13 Mei lalu, Shaesta yang mengikut keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berhasrat mengunjungi 19 buah negara dengan menaiki pesawat Beechcraft Bonanza A36 miliknya.

    “Semasa kecil, saya selalu bercita-cita untuk memasuki kolej, namun saya mungkin berkahwin pada usia yang muda dan memiliki keluarga. Bagaimanapun, saya akhirnya menemukan sesuatu yang benar-benar saya minati iaitu terbang,” kata wanita yang dibesarkan di Richmond, California itu.

    Shaesta yang kini singgah di negara kelahirannya, Afghanistan ternyata begitu gembira berpeluang berbuat demikian.

    “Sudah 29 tahun berlalu dan peluang untuk kembali ke negara kelahiran sebagai juruterbang yang memberi inspirasi kepada semua orang benar-benar membuatkan saya gembira berada di sini,” katanya.

    Jelas pengasas organisasi bukan berasaskan keuntungan yang dikenali sebagai Dreams Soar itu, dia mahu terbang ke seluruh dunia untuk membantu memberi inspirasi kepada para gadis dan wanita bagi menyambung pengajian mereka dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

    “Tidak kisah bagaimana sekali pun latar belakang kamu, apa yang penting ialah, kamu perlu memiliki impian dan bekerja keras untuk mencapai impian itu,” katanya yang merupakan individu pertama dalam kalangan ahli keluarganya yang memperoleh ijazah sarjana serta sarjana muda.

    Selepas meninggalkan Afghanistan, Shaesta dijangka terbang mengelilingi Asia dan Australia sebelum kembali semula ke Florida.

    - Utusan Malaysia

    Subjects:

  • No Comment to " Daripada Kem Pelarian Kini Bergelar Juruterbang "