• 'Dalang tragedi MH17 akan ditemui'

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Malaysia yakin penjenayah yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine tiga tahun lalu, akan dibawa ke muka pengadilan.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) amat terperinci dalam mengumpul maklumat dari pelbagai sudut, selain membina semula pesawat MH17 daripada serpihan ditemui untuk mendapatkan bukti.

    "JIT sudah menyoal 200 saksi, pergi ke semua platform laman web dan laman sosial bagi mengumpul maklumat. Lebih satu bilion mesej dapat dikumpulkan.

    "Kita menganalisis serangan peluru berpandu BUK dan bagaimana ia memberi kesan kepada pesawat. Semuanya terperinci, jadi kita yakin akan menemui dalangnya," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat kepada waris MH17 pada Majlis Peringatan Ulang Tahun Tragedi MH17 ketiga, di sini, hari ini.

    Tiong Lai berkata, lebih 90 orang daripada 43 keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas itu menghadiri taklimat berkenaan.

    "Mereka menerima maklumat yang disampaikan dan menghargai usaha kerajaan meneruskan siasatan dan menegakkan keadilan bagi kes ini," katanya.

    Beliau berkata, siasatan JIT dijangka selesai hujung tahun ini atau awal tahun depan, sebelum dibicarakan.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Dalang tragedi MH17 akan ditemui' "