• Dakwaan Kerajaan Tidak Demokratik Satu Putar Belit - Salleh

    Published: Wednesday, 12 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas dakwaan pihak tertentu bahawa pelaksanaan undang-undang pencegahan oleh kerajaan satu tindakan tidak demokratik.

    Beliau menjelaskan pembangkang memutarbelitkan fakta dengan menyatakan penggunaan akta seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai tindakan tidak demokratik.

    "Ini kerana akta-akta di atas adalah akta pencegahan yang memenuhi peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bertujuan untuk mengawal keselamatan rakyat dan negara.

    "Akta sebegini adalah pendekatan paksaan yang digunakan oleh semua negara di dunia ini, baik itu negara demokratik atau negara komunis," katanya dalam catatan blognya, hari ini.

    Menurutnya, pentadbiran terdahulu juga kerap menggunakan akta pencegahan iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

    "Misalnya, ISA digunakan dalam tragedi Memali pada tahun 1985, digunakan untuk menahan pemimpin pembangkang dan akitivis NGO dalam Operasi Lalang pada tahun 1987, dan digunakan untuk menyekat cabaran (Datuk Seri) Anwar Ibrahim terhadap kepimpinan negara pada tahun 1998,? katanya.

    Bagaimanapun, Salleh menjelaskan pelaksanaan undang-undang pencegahan oleh pentadbiran terdahulu bertujuan mengekalkan kuasa pemerintah, tetapi kini undang-undang sebegitu digunakan bagi mengawal keselamatan negara.

    Katanya, mengikut SOSMA, seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah, berbeza dengan ISA yang membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara.

    "SOSMA tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya seperti mana ISA. Pada 20 Mei 2013, Mahkamah Tinggi telah memutuskan dalam kes penahanan Yazid Sufaat, Halimah Hussein dan Muhammad Hilmi Hasim bahawa Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai bagi tindakan ancaman keselamatan di Malaysia," katanya.

    Justeru, beliau mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan sekarang menghapuskan ISA yang membenarkan tahanan tanpa bicara sebagai tidak demokratik.

    "Kita perlu bersikap adil dalam menilai hal ini. Ini kerana kerajaan pada hari ini lebih demokratik dalam menjalankan tanggunjawabnya untuk negara," kata Salleh. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Dakwaan Kerajaan Tidak Demokratik Satu Putar Belit - Salleh "