• Cuba Buang Sesuatu, Tokan Dadah Akhirnya Kantoi

    Published: Thursday, 6 July 2017
    A- A+

    Lelaki disyaki pengedar dadah ditahan bersama sejumlah heroin bernilai anggaran RM1,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kusial Baru, Tanah Merah, 3 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, suspek berusia 51 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

    "Ketika serbuan itu, suspek berada di dalam bilik tidur di rumah berkenaan dan bertindak membuang sesuatu daripada tangannya ke lantai.

    "Pemeriksaan mendapati terdapat satu kotak rokok yang di dalamnya mengandungi satu botol cerah bertudung kuning berisi serbuk warna putih disyaki heroin.

    "Di dalam botol itu juga ada 12 straw warna oren, lima tiub straw warna hijau dan lima lagi tiub straw warna ungu yang semuanya mengandungi serbuk putih disyaki heroin," katanya, hari ini.

    Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Katanya, ujian saringan dijalankan turut mendapati dia positif dadah jenis Morfin.

    "Siasatan awal, punca bekalan dadah itu diperolehnya daripada seorang lelaki dikenali dari Thailand," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Cuba Buang Sesuatu, Tokan Dadah Akhirnya Kantoi "