• Cermin Gelap: ‘Tinted Film’ Kena Ikut Piawaian MS2669

    Published: Monday, 31 July 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Bermula 1 Januari tahun depan, Kementerian Pengangkutan menetapkan pemasangan filem penghadang haba pada cermin kenderaan perlu mengikut piawaian Standard Malaysia 2669 (MS2669).

    Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata mekanisme atau sistem penyelarasan filem penghadang haba itu diperkenalkan bagi menangani pelbagai isu berbangkit termasuk penguatkuasaan membabitkan cermin gelap.

    Katanya, menerusi penetapan itu, setiap filem yang dipasang pada cermin kenderaan akan mempunyai label keselamatan kod QR Standard Malaysia yang boleh diimbas menggunakan aplikasi telefon pintar bagi mendapatkan maklumat berkaitan produk yang dipasang.

    “Dengan adanya mekanisme ini, pemilik kenderaan akan lebih yakin dengan kualiti produk yang digunakan dan tidak perlu lagi risau dikenakan tindakan undang-undang atau diarah menjalani pemeriksaan cermin di PUSPAKOM kerana menggunakan filem penghadang haba yang tidak menepati piawaian.

    “Bagaimanapun, penetapan ini belum diwajibkan sebaliknya ia sebagai inisiatif awal kementerian dan pihak penguat kuasa supaya pengguna tidak ditipu dengan membeli produk yang tidak diluluskan atau berkualiti rendah.

    “Mekanisme ini juga memberi peluang kepada pengusaha industri untuk membuktikan ketelusan dan kejujuran dalam urus niaga,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran mekanisme penyelarasan piawaian filem penghadang haba kenderaan bermotor Malaysia anjuran Pertubuhan Penjual Auto Audio Aksesori dan Hawa Dingin Malaysia (AAA) bersama kementerian di sini hari ini.

    Tiong Lai berkata, pihaknya turut meminta semua syarikat jualan dan aksesori kenderaan bersama-sama membantu kerajaan memastikan pemasangan filem penghadang haba pada kenderaan baharu terutama menjelang tahun depan turut mengikut piawaian MS2669.-BHOnline.

    Subjects:

  • No Comment to " Cermin Gelap: ‘Tinted Film’ Kena Ikut Piawaian MS2669 "