• Budiman Dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pembaharuan Dasar Buku Negara

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid melantik anggota Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pembaharuan Dasar Buku Negara.

    Menurut Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini, pelantikan Budiman yang juga Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dibuat susulan Resolusi Persidangan Meja Bulat Dasar Buku Negara yang memberi tumpuan kepada pembaharuan Dasar Buku Negara (DBN).

    Resolusi itu yang diserahkan sendiri oleh Budiman kepada Mahdzir hari ini, menggariskan lima matlamat utama pembaharuan DBN.

    Menurut Kementerian Pendidikan, cadangan memperbaharui DBN diutarakan oleh Budiman dalam Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 14 Mac lepas di Dewan Rakyat.

    Kesinambungan daripada cadangan tersebut, Persidangan Meja Bulat DBN diadakan pada 25 April, bertempat di Wisma ITBM, kata kenyataan itu.

    Menurut Kementerian Pendidikan, persidangan tersebut turut mendapat sokongan kehadiran 58 wakil beberapa agensi berkaitan antaranya Sasterawan Negara, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Perbadanan Kota Buku, Perpustakaan Negara Malaysia, ITBM, penerbit universiti, penerbit swasta, serta kedai buku.

    DBN merupakan antara asas penting yang akan diusulkan dalam merealisasikan wawasan Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata kenyataan itu.

    Kementerian Pendidikan berkata antara cadangan yang diutarakan ialah pembaharuan DBN bagi memastikan buku dalam Bahasa Melayu dapat memainkan peranan yang berkesan sebagai alat pembangunan fikiran, sosial dan kebudayaan.

    Sesuai dengan keperluan dan cita-cita negara, DBN juga bermatlamat bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi, juga termasuk pendigitalan buku alaf baharu dan buku masa depan, kata Kementerian Pendidikan. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Budiman Dilantik Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pembaharuan Dasar Buku Negara "