• BTN Berperanan Penting Bentuk Minda, Semangat Rakyat

    Published: Saturday, 15 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Biro Tatanegara (BTN) memainkan peranan dan objektif penting dalam pembentukan minda dan semangat rakyat khususnya generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

    Perdana menteri berkata ia sekaligus membantu kerajaan meneruskan kepimpinan atas nama agama, bangsa dan negara, selain membolehkan kerajaan bertahan untuk tempoh lama.

    "Generasi milenia tak melalui jerih payah dan penderitaan seperti generasi terdahulu dengan babak-babak perjuangan menentang penjajah untuk kemerdekaan dan pelbagai lagi ancaman politik.

    "Mereka inilah yang mesti kita tanamkan dengan daya juang dan semangat patriotisme kerana inilah jaminan masa depan terbaik," katanya ketika berucap pada majlis Aidilfitri anjuran BTN di sini, hari ini.

    Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Najib berkata generasi hari ini amat bertuah kerana mereka lebih terdidik kerana perjuangan yang dibawa oleh kerajaan.

    Menurutnya, golongan tersebut lebih mewah hasil perjuangan kerajaan yang akhirnya membolehkan mereka menempa masa depan yang baik.

    "Inilah yang menyebabkan kita semua mesti meneruskan perjuangan kita...sehingga PRU (Pilihan Raya Umum) ke-14, 15, 16, 17 dan seterusnya untuk kita dapat jaminan kemenangan," katanya.

    Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Undang-undang di negara ini yang membuktikan bahawa negara tidak ditadbir atas undang-undang rimba tetapi berlandaskan kedaulatan undang-undang yang sangat dihormati dan disanjung tinggi.

    Majlis yang dihadiri 3,000 tetamu terdiri daripada warga BTN itu turut dimeriahkan dengan kehadiran menteri-menteri Kabinet termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " BTN Berperanan Penting Bentuk Minda, Semangat Rakyat "