• Brigadier Jeneral TMJ Perli Brigadier Jeneral KJ Lagi?

    Published: Tuesday, 18 July 2017
    A- A+

    Jika bercakap mengenai Brigadier Jeneral Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pasti banyak bakat dimiliki baginda yang membuatkan rakyat negara ini khususnya bangsa Johor mengagumi putera Raja itu.

    Daripada hal ehwal rakyat kepada sukan polo dan bola sepak sehinggalah kehebatan serta pengalaman baginda dalam pasukan tentera, sememangnya semua itu tidak boleh disangkal.

    Berdasarkan rekod, Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ mencatat sejarah sebagai rakyat asing pertama yang mengetahui pasukan tentera India pada Hari Kebangsaan Republik India pada Januari 2007, selain dipilih oleh Presiden India untuk mengetuai rejimen yang terdiri daripada 400 anggota.

    Jadi, tidak hairanlah jika TMJ yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memiliki ketangkasan dalam mengendalikan senjata dan kemahiran tembak tepat.

    Terbaharu, pengendali Facebook rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), JOHOR Southern Tigers (JST) memuat naik sebuah rakaman video memaparkan sesi latihan ketenteraan yang dijalankan oleh TMJ bersama angkatan tentera Johor di Kem Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

    TMJ dalam rakaman tersebut berkata, sesi latihan itu adalah rutin yang sering dilakukan oleh angkatan tentera di negeri tersebut, yang mana ia dijalankan setiap dua atau seminggu sekali.

    “Hari ini saya membuat ‘roll-call’ bagi Pasukan Elit JMF di mana kita membuat ‘dry run’ berkenaan dengan CQB (Close Quarters Battle) dan ‘urban welfare’. Harap-harap latihan kita berjalan dengan lancar dan semuanya positif,” demikian kata TMJ.

    Rakaman berdurasi lebih lima minit itu memaparkan beberapa sesi latihan termasuk melibatkan latihan menyelamatkan mangsa tebusan dan menembak.

    “Jadi benda ini yang selalu kita buat di JMF, di mana setiap minggu kita akan ada senario yang lain untuk situasi-situasi yang lain dalam latihan, jadi kita akan berada dalam keadaan yang lebih fleksibel.

    “Saya dan anggota-anggota lain sudah membuat latihan ini bertahun, saya (sudah) menjalani latihan lapan tahun, di mana mereka (melalui latihan) selama lebih lima, enam dan tujuh tahun,” jelas TMJ.

    Sebelum rakaman itu berakhir dengan memaparkan sesi latihan menembak, TMJ secara sinis berkata: “So, di sini tiada orang yang pakai pangkat free,“ yang mana kenyataan itu telah menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen.

    Di penghujung rakaman, TMJ berkesempatan menunjukkan ‘skill’ menembak yang dimilikinya menggunakan senapang HK MP5 dari jarak dekat.

    Ramai yang cukup mengagumi kehebatan TMJ mengendalikan senjata itu.

    Selain itu, rata-rata netizen mendakwa bahawa kenyataan sinis TMJ itu ditujukan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang telah ditauliahkan sebagai Brigadier Jeneral dalam Rejimen 503 Askar Wataniah.

    Namun, segelintir netizen berpendapat bahawa ia bukan ditujukan kepada Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ, kerana menteri Kabinet itu menjalani latihan yang sebenar sebagai askar wataniah.

    Sebelum ini, media tempatan melaporkan KJ menjadi menteri pertama berpangkat Brigadier Jeneral sebenar dalam Rejimen Askar Wataniah dan kekal menjadi Komander Rejimen 508 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Rasah, Negeri Sembilan.

    KJ yang juga Komander Rejimen 508 Askar Wataniah dinaikkan pangkat daripada Kolonel ke Brigadier Jeneral yang mula berkuat kuasa 14 Januari 2015.

    Terdahulu, TMJ juga bertindak mempersoalkan pelantikan seorang ahli politik tidak berpengalaman dalam skuad polo pada Sukan SEA yang akan berlangsung Ogos ini.

    Meskipun TMJ tidak menyebut siapa yang dimaksudkan ahli poltik itu, namun rata-rata dapat meneka bahawa ia ditujukan kepada KJ.

    TMJ dalam pada itu turut mencabar skuad polo Sukan SEA menentang Kelab Polo Diraja Johor dalam usaha menghentikan spekulasi berhubung isu membabitkan sukan itu.

    “Bukankah saya pernah mengalahkan pasukan yang Datuk (Mohamed Zekri Ibrahim) wakili dulu sebanyak 10-0 dan 11-0 semasa satu pertandingan polo di Pekan, Pahang?

    “Macam mana anda boleh mewakili negara? Saya ingat hanya seorang sahaja yang melobi mewakili negara, rupa-rupanya ramai lagi yang melobi untuk mewakili negara ke Sukan SEA.

    “Negara kita pada masa ini perlu diurus mengharungi pelbagai cabaran global, tetapi masih lagi terdapat individu-individu yang masih melobi hinggakan hal-hal sukan dicampuradukkan dengan politik demi kepentingan diri,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook JST.-Malaysian Digest

    Subjects:

  • No Comment to " Brigadier Jeneral TMJ Perli Brigadier Jeneral KJ Lagi? "