• Bom Pada Kereta: Bekas Kekasih Jururawat Ditahan

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: Seorang lelaki ditahan awal pagi tadi selepas dipercayai terbabit dalam kes bom buatan sendiri yang dipasang pada kereta seorang jururawat, malam kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki yang juga bekas teman lelaki jururawat berusia 27 tahun itu, ditahan kira-kira jam 3.30 pagi di Taman Petaling Indah, Klang, dekat sini.

    Fadzil berkata, suspek berusia 28 tahun yang mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan ugutan jenayah itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

    "Pemeriksaan di dalam ruang rumah lelaki itu menjumpai beberapa alat elektronik termasuk alatan dan mercun yang disyaki digunakan untuk membuat bahan letupan Improvised Explosive Device (IED) yang diletakkan di kereta mangsa.

    "Lelaki yang ditahan ini bekas pelajar kolej swasta dalam bidang elektronik pada tahun 2006 dan pernah bekerja sebagai jurujual kedai elektrik.

    "Suspek mengaku sebagai bekas kekasih kepada pengadu dan kini mereka ada perbalahan membabitkan soal kewangan," katanya. Namun, Fadzil berkata, pihak polis masih meneruskan siasatan bagi menentukan motif sebenar kejadian.

    Semalam, BH Online melaporkan seorang jururawat berdepan detik cemas selepas bom buatan sendiri ditemui di keretanya di Taman Damai, Kapar, di sini.

    Jururawat terbabit yang berusia 27 tahun sedang memandu pulang ke rumah pada jam 10 malam, sebelum memberhentikan kereta di rumah bapa saudaranya selepas mendengar bunyi mencurigakan di bahagian belakang kenderaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Bom Pada Kereta: Bekas Kekasih Jururawat Ditahan "