• Belanda Lokasi Tepat Bicara Suspek MH17 – Pakar

    Published: Friday, 7 July 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Keputusan memilih negara Belanda sebagai lokasi perbicaraan mana-mana suspek yang ditahan berkaitan insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh tiga tahun lepas merupakan satu tindakan tepat, menurut pakar penerbangan tempatan.

    Mereka menyifatkan, pemilihan Belanda bukan sahaja kerana kebanyakan mangsa pesawat malang itu dari negara tersebut malah kerana kredibiliti Amsterdam yang mempunyai mahkamah antarabangsa di The Hague melayakkan mereka mengetuai perbicaraan itu.

    Bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata Belanda sememangnya layak kerana negara itu sendiri mengetuai pasukan penyiasat bersama (JIT) berhubung insiden itu selain Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine.

    Mengulas lanjut, Abdul Rahmat berkata sebelum memulakan sebarang perbicaraan, JIT perlu terlebih dahulu menamakan suspek kejadian.

    “Suspek hanya boleh dinamakan sekiranya kedua-dua pihak bertelagah (Ukraine dan Rusia) memberi kerjasama penuh dalam siasatan, dan siasatan dijalankan secara adil, tidak berpihak kepada mana-mana negara bertelagah.

    “Begitu juga dengan hukuman. Sama ada ia akan diiktiraf pihak yang didapati bersalah adalah menjadi tanda soal yang amat besar. Banyak kes yang hukumannya dijatuhkan secara tanpa kehadiran pihak tergugat sehingga kini tidak dapat dilaksanakan.

    “Oleh itu, JIT perlu menamakan suspek setelah mempunyai bukti yang amat kukuh dan tidak lut persoalan,” katanya kepada Bernama.

    Rabu lepas, dilaporkan negara-negara dalam JIT bersetuju bahawa sebarang perbicaraan akan diadakan di bawah sistem undang-undang Belanda yang mana suspek perlu didakwa di Belanda berteraskan kerjasama dan sokongan antarabangsa.

    Sementara itu, juruterbang pandu uji Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata pemilihan Belanda adalah tepat dan rakyat negara tersebut menantikan keadilan dilaksanakan di tanah air mereka sendiri selepas majoriti mangsa adalah dari negara itu.

    Beliau berkata hasil daripada perbicaraan tersebut mampu memberi ‘penutupan’ kepada mereka yang berkaitan nahas tersebut, sekali gus mengharapkan kepada mahkamah antarabangsa di The Hague yang terkenal dalam mengendalikan beberapa kes kes antarabangsa yang berprofil tinggi yang mana keputusannya majoriti diterima oleh negara-negara lain.

    “Menjatuhkan hukuman lazimnya mengikut prosedur-prosedur yang jitu. Namun begitu, untuk melaksanakan hukuman adalah sesuatu yang penuh berliku kerana pengaruh politik sebuah negara yang besar memainkan juga peranan,” katanya.

    Mohd Harridon berpendapat langkah seterusnya yang boleh dilakukan JIT ialah untuk membantu mahkamah dalam proses penyediaan data dan informasi yang mendalam untuk digunakan kelak dalam perbicaraan.

    Beliau menarik perhatian, JIT juga digalakkan untuk membuat analisa yang mendalam akan bukti-bukti yang dikumpul menggunakan perspektif dan metodologi yang lain untuk tuntutan balas pihak yang disabitkan kesalahan kerana pihak yang disabit akan mengeluarkan versi analisa mereka yang tersendiri.

    MH17 ditembak jatuh semasa terbang pada ketinggian 30,000 kaki di kawasan bergolak di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.

    Pada 28 Sept 2016, JIT membuat kesimpulan bahawa pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu Buk yang dibawa dari Rusia ke Ukraine.

    Wilbert Paulissen, ketua pasukan penyiasat kebangsaan Belanda, berkata peluru berpandu Buk itu dibawa semula ke Rusia selepas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 itu ditembak jatuh. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Belanda Lokasi Tepat Bicara Suspek MH17 – Pakar "