• Bekalan Minyak Dunia Mungkin Berkurangan

    Published: Tuesday, 11 July 2017
    A- A+
    ISTANBUL: Dunia mungkin berdepan masalah bekalan minyak berikutan penurunan mendadak pelaburan dan kurangnya penemuan konvensional baharu, kata Ketua Eksekutif Saudi Aramco, Amin Nasser.

    Minyak syal bukan konvensional dan sumber tenaga alternatif adalah faktor penting untuk membantu menampung permintaan akan datang, namun masih terlalu awal untuk menganggap ia boleh dibangunkan dengan pantas bagi menggantikan minyak dan gas, kata Nasser di Istanbul.

    "Jika kita lihat situasi jangka panjang bekalan minyak, gambarannya menjadi semakin membimbangkan," kata Nasser.

    "Pelabur kewangan semakin menjauhkan diri daripada membuat pelaburan besar dalam penerokaan minyak, pembangunan jangka panjang dan infrastruktur berkaitan. Pelabur dalam projek lebih kecil seperti minyak syal tidak dapat membantu," kata Nasser.

    Pelaburan bernilai kira-kira AS$1 trilion (RM4.2 trilion) lenyap sejak harga minyak menjunam pada 2014.

    Beberapa kajian menunjukkan 20 juta tong sehari (bpd) pengeluaran baharu diperlukan bagi menampung pertumbuhan permintaan dan mengimbangi penurunan jumlah lapangan yang dibangunkan dalam tempoh lima tahun akan datang. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Bekalan Minyak Dunia Mungkin Berkurangan "