• Ahmad Zahid Serah Sumbangan Kepada Keluarga Mangsa Rabies

    Published: Thursday, 13 July 2017
    A- A+

    KUCHING - Dugaan yang dihadapi keluarga dua beradik yang meninggal dunia akibat jangkitan virus rabies atau penyakit anjing gila mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

    Ahmad Zahid sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu dengan bapa serta ibu mangsa rabies itu sebelum menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada kerajaan Persekutuan kepada mereka.

    Ahmad Zahid turut diberi taklimat oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengenai status terkini wabak rabies yang melanda enam kampung di Serian dekat sini.

    Sementara itu, bapa kepada dua beradik malang, Mazlan Pujan, 36, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana prihatin dengan musibah yang menimpa keluarganya.

    "Kami sangat terharu dengan keprihatinan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) dan kerajaan pusat dengan dugaan yang kami hadapi sekarang," ujarnya ringkas.

    Kosmo! sebelum ini melaporkan dua orang daripada tiga kanak-kanak yang disahkan positif dijangkiti virus rabies meninggal dunia, iaitu dua beradik, Monica Mazlan, 6, dan Jackson, 5, dari Kampung Paon Sungai Rimu. - K! ONLINE

  • No Comment to " Ahmad Zahid Serah Sumbangan Kepada Keluarga Mangsa Rabies "