• Agong Perkenan Penubuhan Suruhanjaya Siasat Kes Kerugian Bank Negara - Pejabat PM

    Published: Tuesday, 18 July 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V perkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an, menurut Pejabat Perdana Menteri.

    Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata penubuhan itu selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan penubuhan suruhanjaya siasatan itu berkuat kuasa 15 Julai 2017.

    Selaras dengan peruntukan Akta 119, Seri Paduka turut memperkenankan keanggotaan suruhanjaya dengan Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilantik menjadi pengerusi suruhanjaya.

    Bidang kuasa suruhanjaya itu adalah:

    i. menentukan kesahihan dakwaan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi negara.

    ii. menentukan sama ada penglibatan Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

    iii. Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara Malaysia dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberikan kenyataan yang mengelirukan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

    iv. Mengesyorkan tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu; dan

    v. Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang

    Kenyataan itu berkata suruhanjaya itu akan menyelesaikan siasatannya dalam tempoh tiga bulan mulai tarikh kuat kuasa penubuhannya dan akan menyembahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan keanggotaan suruhanjaya yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon dan Ahli Institut Akauntan Malaysia yang juga Ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia serta bekas rakan kongsi firma Ernst & Young, Pushpanathan S A Kanagarayar.

    Baginda turut memperkenankan pelantikan Setiausaha Bahagian Pelaburan Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail sebagai setiausaha suruhanjaya.

    Berhubung pelantikan Mohd Sidek sebagai pengerusi suruhanjaya dan Saw sebagai ahli suruhanjaya, kenyataan itu berkata ini adalah bagi mewujudkan kesinambungan memandangkan mereka telah menganggotai Pasukan Petugas Khas mengenai perkara yang sama sebelum ini.

    Keanggotaan ahli-ahli yang lain adalah mengambil kira kelayakan dan pengalaman mereka dalam bidang-bidang yang berkait rapat dengan siasatan yang dijalankan suruhanjaya, kata kenyataan tersebut. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Agong Perkenan Penubuhan Suruhanjaya Siasat Kes Kerugian Bank Negara - Pejabat PM "