• Abdul Karim Jagung Manis Bukannya Setahun Jagung

    Published: Monday, 10 July 2017
    A- A+

    BAU: Walaupun ada pihak menggelar Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai setahun jagung, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebaliknya menganggap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu sebagai 'jagung manis'.

    "Meskipun Karim 'setahun jagung', jagung ini manis. Ada pihak menyatakan Karim setahun jagung, jika anda ingin mencari jagung, sudah pasti anda mencari jagung muda kerana manis dan segar," katanya.

    Memetik laporan The Borneo Post, walaupun Abang Johari tidak menyatakan nama semasa berucap, difahamkan beliau merujuk kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menggelar Abdul Karim 'setahun jagung' selepas mempersoalkan sama ada Cukai Pelancongan disalurkan balik kepada Sarawak.

    Nazri sebelum ini berkata, Cukai Pelancongan baharu itu akan bermula 1 Julai tetapi ditangguhkan ke 1 Ogos berikutan sistem belum siap sepenuhnya.

    Beliau berkata, di bawah polisi baharu itu, Cukai Pelancongan dikenakan kepada pelancong asing tetapi rakyat Malaysia yang tinggai di hotel tiga bintang ke bawah tidak dikenakan bayaran cukai.

    Nazri menambah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan bertanggungjawab mengumpul cukai baharu itu.

    Sementara itu, Abang Johari berkata, tidak seperti jagung muda, jagung tua tidak bertenaga dan ini menyebabkan keputusan dibuat kelam kabut.

    "Yang tua tidak bertenaga...ini menyebabkan berlaku kelam kabut. Keputusan jagung tua kelam kabut kerana sudah tua. Karim adalah jagung muda," ujarnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Abdul Karim Jagung Manis Bukannya Setahun Jagung "