• 6 direman kes bayi mati dalam perigi

    Published: Monday, 24 July 2017
    A- A+

    JASIN: Enam sekeluarga, termasuk sepasang suami isteri direman tujuh hari, bagi membantu siasatan kematian seorang bayi lelaki yang ditemui di dalam perigi di Kampung On Lok, Batang Melaka, malam tadi.

    Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Suzanna Mokhtar, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap semua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, semua suspek yang memakai baju lokap polis tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9 pagi diiringi pegawai polis sebelum keluar kira-kira 30 minit kemudian.

    BH malam tadi melaporkan seorang bayi lelaki berusia enam hari ditemui mati di dalam perigi dalamnya 6 meter, disyaki dibunuh oleh ahli keluarga sendiri.

    Mayat bayi sempurna fizikal dan masih berbalut kain lampin putih itu ditemui orang awam sebelum dikeluarkan dari perigi dengan bantuan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari, kira-kira jam 10.30 malam.

    Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, bayi itu dilaporkan hilang jam 7.45 malam kelmarin oleh bapa mangsa yang hadir ke Balai Polis Batang Melaka.

    Katanya, susulan laporan itu siasatan lanjut dilakukan namun ada keraguan mengenai kesahihan kehilangan bayi terbabit,

    termasuk turut menerima maklumat jiran yang mengesyaki ada mayat bayi di dalam perigi di belakang rumah keluarga mangsa.

    Polis menahan enam suspek termasuk ibu dan bapa bayi berkenaan.-BHOnline


    Subjects:

  • No Comment to " 6 direman kes bayi mati dalam perigi "