• 5 Sampel Kepala Anjing Bebas Rabies

    Published: Wednesday, 19 July 2017
    A- A+

    TANJUNG MALIM: Lima sampel kepala anjing yang dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh, semalam disahkan bebas daripada penyakit anjing gila atau wabak rabies.

    Pengerusi Jawatankuasa Khas Menanggani Rabies Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, keputusan ujian makmal itu diperolehi, hari ini membabitkan 19 anjing terbiar yang dilupuskan, semalam.

    "Setakat ini, lapan sampel kepala anjing dihantar, tiga lagi sampel baru sahaja dihantar malam tadi dan bakal diketahui seawalnya, Jumaat ini," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), di sini hari ini.

    Hang Soon berkata, melalui keputusan sampel bakal diperolehi itu nanti, kerajaan negeri boleh melihat lebih lanjut keperluan penarikan pengisytiharan Kuala Sepetang sebagai kawasan wabak.

    "Tapi ini bergantung kepada prosedur standart operasi jabatan dan keputusan analisis selanjutnya kerana ujian persampelan dilakukan secara berterusan," katanya.

    Menurutnya, sebaik Mukim Matang diwartakan sebagai kawasan wabak rabies, Isnin lalu 48 anjing terbiar di kawasan Kuala Sepetang dilupuskan melalui kaedah suntikan pelali.

    Katanya, pendekatan itu terpaksa dilakukan bagi mengetahui tahap penyebaran wabak dalam kalangan haiwan itu di kawasan dijangkiti.

    "Melalui langkah pencegahan yang kita lakukan, 65 anjing bertuan dan 67 kucing diberi suntikan vaksin," katanya.-Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " 5 Sampel Kepala Anjing Bebas Rabies "