• 4 Klinik Gigitan Anjing Diwujudkan Di Sarawak

    Published: Thursday, 27 July 2017
    A- A+

    KUCHING: Empat klinik gigitan anjing diwujudkan Jabatan Kesihatan Sarawak di negeri ini untuk memberi perkhidmatan pegurusan kes gigitan anjing untuk pesakit.

    Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) berkata, ia masing-masing diwujudkan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Serian, Klinik Kesihatan Kota Sentosa dan Klink Kesihatan Sri Aman.

    “Bagi kes gigitan anjing yang berlaku di luar kawasan empat klinik tersebut, pesakit dinasihat mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berdekatan,” katanya.

    Selain itu, JKN Sarawak juga memohon masyarakat yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April 2017 hingga sekarang membuat pemeriksaan di fasiliti kesihatan terdekat.

    Memetik laporan Utusan Borneo, JKN Sarawak turut memaklumkan secara kumulatif dari 2 Julai 2017 hingga 26 Julai 2017, 490 kes gigitan baharu dikesan, iaitu 31 kes di Serian dan di Kuching 57 kes dilaporkan semalam, tambahnya.

    Bagaimanapun, semalam tiada kes gigitan baharu dilaporkan berlaku di Sri Aman.

    “Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku semenjak 1 April 2017 hingga semalam berjumlah 963 kes.

    “Berdasarkan data klinik gigitan anjing di HUS dan Hospital Serian, seramai 538 orang telah datang untuk menerima suntikan vaksin,” jelas JPBN Sarawak.

    Sementara itu, semalam 300 anjing telah divaksin pada Program Pelalian Wabak Rabies bertempat di Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) Kota Sentosa di sini.

    Ini menjadikan jumlah haiwan kesayangan telah divaksin setakat ini ialah 18,144 terdiri daripada 10,504 anjing, 7,595 kucing dan 45 haiwan lain.

    JPBN Sarawak turut memaklumkan buat masa ini stok simpanan vaksin untuk haiwan mencukupi dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) akan melakukan operasi pemvaksinan secara besar-besaran dan terancang.

    Setakat ini juga, JPVS telah mengadakan 117 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit rabies di kampung-kampung dan sekolah di kawasan terlibat membabitkan 25,212 peserta.

    Sehingga semalam sebanyak 22 kawasan iaitu di bahagian Serian, Sri Aman dan Kuching diisytiharkan sebagai sebagai kawasan wabak rabies, manakala bahagian-bahagian lain masih bebas daripada wabak itu.

    JPBN dalam kenyataan semalam berkata walaupun terdapat 22 kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies, ia masih lagi dalam keadaan terkawal. – Sarawakiana

  • No Comment to " 4 Klinik Gigitan Anjing Diwujudkan Di Sarawak "