• 176 Sekolah Mungkin Ditutup Atau Digabung - Mahdzir

    Published: Monday, 31 July 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kira-kira 176 sekolah di seluruh negara mungkin ditutup atau digabungkan kerana mempunyai bilangan pelajar kurang daripada 20 orang, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

    "Kementerian mendefinisikan sebuah sekolah yang mempunyai populasi pelajar yang rendah sekiranya mempunyai kurang daripada 150 pelajar. Berdasarkan kajian, terdapat 2,996 sekolah di negara ini yang ketika ini mempunyai kurang daripada 150 pelajar," katanya kepada Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) Di Dewan Rakyat pada Isnin.

    Beliau berkata, daripada 2,996 sekolah yang mempunyai bilangan pelajar kurang daripada 150 orang, 2,058 adalah sekolah kebangsaan, 578 sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) Cina dan 360 SRJK Tamil.

    Tambah Mahdzir, 44 sekolah mempunyai kurang daripada 10 pelajar manakala 132 sekolah lagi dengan bilangan kurang daripada 20 pelajar.

    Menurut Mahdzir, satu kajian komprehensif sedang dijalankan untuk menentukan sama ada sekolah-sekolah terbabit boleh ditutup atau digabungkan.

    "Perkara ini telah dilakukan ke atas tiga sekolah di Jalan Pasar di Kuala Lumpur yang digabungkan kerana bilangan pelajar yang rendah," katanya.

    Beliau bagaimanapun berkata, kementerian tidak akan memaksa sekolah untuk menutup atau bergabung dengan sekolah lain melainkan ibu bapa pelajar di sekolah berkenaan bersetuju untuk langkah tersebut. - mStar

    Subjects:

  • No Comment to " 176 Sekolah Mungkin Ditutup Atau Digabung - Mahdzir "