• 10 Maut Dilambung Ombak

    Published: Wednesday, 26 July 2017
    A- A+

    TARAKAN, INDONESIA: Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk seorang budak dan dua pelancong Jerman maut selepas feri dinaiki karam dilambung ombak berhampiran pelabuhan Sungai Danau di Tarakan, Kalimantan Utara semalam.

    Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) memberitahu, seramai 40 penumpang diselamatkan dan sebilangan lagi dipercayai masih hilang.

    “Ketika ini kami hanya membuat anggaran bilangan penumpang feri ini kerana jumlah masih belum diketahui.

    “Kemungkinan feri ini membawa lebih muatan daripada yang ditetapkan. Kami kini menunggu sekiranya ada sesiapa yang membuat laporan kehilangan ahli keluarga mereka,” kata seorang jurucakap Basarnas.

    Jurucakap jabatan perhubungan laut, Tonny Budiono berkata, penumpang yang maut terdiri daripada empat lelaki, lima wanita dan seorang kanak-kanak.

    “Feri ini SB Rejeki Baru Kharisma yang dalam pelayaran dari Tarakan menuju ke Pelabuhan Tanjung Selor terbalik pada jam 9.50 pagi (waktu tempatan).

    “Feri ini terbalik dan tenggelam kira-kira 10 minit selepas meninggalkan pelabuhan dipercayai akibat dilambung ombak besar,” katanya.

    Beberapa saksi melihat penumpang feri yang tidak memakai jaket keselamatan terjun ke dalam laut ketika feri itu mula karam.

    “Feri itu tiba-tiba bergoyang dan terus terbalik apabila dilanda ombak menyebabkan ramai terperangkap di dalamnya,” kata saksi.

    Seorang pegawai Basarnas, Octavianto berkata, kejadian itu bukan berpunca akibat cuaca buruk kerana keadaan laut ketika itu dilaporkan tenang.

    “Ketika kejadian pelabuhan itu sibuk dengan kapal dan kemungkinan feri berkenaan dilambung ombak daripada kapal yang lebih besar,” jelasnya.

    Kejadian feri atau bot karam sering berlaku di Indonesia ekoran kurangnya tahap keselamatan dan sering membawa lebih muatan. - Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " 10 Maut Dilambung Ombak "