• XBox One X, Konsol Permainan Paling Berkuasa Dilancar 7 Nov

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Permainan Xbox One X oleh Microsoft yang ditunggu-tunggu dan akan dilancarkan di seluruh dunia pada 7 Nov, kini dikatakan sebagai konsol permainan paling berkuasa di dunia.

    Sebelum ini dikenali sebagai Project Scorpio, Microsoft mendakwa Xbox One X dilengkapi ciri dan spesifikasi paling canggih berbanding konsol permainan lain, yang membolehkan permainan itu dikendalikan berterusan dan bakal memberi kepuasan sebenar kepada peminat permainan di seluruh dunia.

    Siri konsol pemainan terbaru Microsoft itu dilengkapi 1172 MHz GPU (Unit Pemprosesan Grafik), yang keupayaannya jauh lebih baik daripada sebelumnya iaitu X Box One S dengan 914 MHz dan sudah tentu juga pesaing utamanya, Sony PlayStation 4 Pro (911MHz).

    Dilengkapi kuasa grafik, persekitaran dan karakter dalam permainan itu akan menjadi "lebih realistik, dengan lebih banyak perincian dan animasi lebih jelas," menurut laman web rasmi Xbox.

    Selain itu, Xbox One X dibina untuk televisyen 4K UHD (Ultra High Definition) yang akan memberikan pengalaman pemainan sebenar susulan permainan tampak lebih hebat berbanding Xbox One S yang hanya untuk High Definition Resolution (HDR).

    Apa yang lebih menarik, Xbox One X merupakan konsol paling nipis pernah dikeluarkan oleh Microsoft selain reka bentuk warna hitam yang anggun dan minimal. Siri permainan konsol Xbox terkenal dengan saiznya yang besar sebelum ini.

    Xbox One X dijual pada harga US$499 (kira-kira RM2,130) , harga yang berbaloi dengan spesifikasinya yang hebat.

    Menurut ketua editor portal pemainan tempatan (JomGaming), Mohd Badiuzzaman Khairul Anuar atau lebih dikenali Bad Anuar, langkah Microsoft melancarkan Xbox One X memaparkan hasrat untuk menjadi kuasa utama dalam industri permainan, khususnya terhadap pesaing utamanya Sony PS4 Pro.

    Selain daripada grafik hebat, apa yang paling mengagumkannya adalah saiz konsol permainan terbaru itu dalam sirinya.

    "Saiz Xbox baharu ini begitu mengagumkan saya kerana ia mesra persekitaran dan amat mudah untuk disesuaikan dalam apa juga situasi berbanding edisi sebelumnya, kerana Microsoft biasanya terikat dengan cara lama yang kelihatan serupa seperti kotak besar," katanya.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " XBox One X, Konsol Permainan Paling Berkuasa Dilancar 7 Nov "