• UOB Mudahkan Kemasukan Perniagaan Bernilai RM3.1 Bilion Ke Malaysia

    Published: Wednesday, 21 June 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR: United Overseas Bank Ltd (UOB), syarikat induk United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia), memudahkan aliran masuk perniagaan bernilai lebih RM3.1 bilion ke Malaysia dalam tempoh 15 bulan lepas.

    Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata ia turut memudahkan aliran perniagaan bernilai lebih S$43 bilion (S$1=RM3.09) sejak 2011 dari syarikat-syarikat China di rantau ini, dengan majoriti kemasukan ini menerusi Singapura sebelum dilaburkan semula dalam pasaran Asia Tenggara.

    Baru-baru ini, dalam usaha untuk menyokong perkembangan syarikat-syarikat China di rantau ini, bank itu menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Perdagangan Antarabangsa Cina (CCOIC) dan Qingjian Group Co., Ltd (Qingjian Group).

    CCOIC ialah persatuan perniagaan kebangsaan China, manakala Kumpulan Qingjian ialah konglomerat pembinaan terbesar di Wilayah Shandong.

    "Kedua-dua MoU akan memanfaatkan usaha sedia ada UOB untuk memudahkan pelaburan perniagaan China di Asia Tenggara," katanya.

    Menerusi MoU pertama, UOB dan CCOIC akan bersama-sama membantu syarikat-syarikat China, seperti dalam bidang infrastruktur, tenaga dan teknologi maklumat, untuk memanfaatkan inisiatif Jalur dan Jalan, selain meluaskannya ke Asia Tenggara.

    Sementara itu, menerusi MoU dengan Kumpulan Qingjian, UOB akan bertindak sebagai rakan kongsi perbankan pilihan di Asia Tenggara, dan menawarkan penyelesaian kewangan seperti pembiayaan projek dan khidmat nasihat pasaran modal.

    Kedua-dua pihak akan meneroka kerjasama lebih mendalam dalam bidang pengurusan tunai, perdagangan dan pelaburan rentas sempadan untuk meningkatkan kerjasama dua hala. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " UOB Mudahkan Kemasukan Perniagaan Bernilai RM3.1 Bilion Ke Malaysia "