• Tular Beras Plastik, MOA Minta Jangan Panik

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+

    KEMAMAN - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) meminta orang ramai tidak panik dengan dakwaan kononnya berlaku kes penjualan beras tiruan yang diperbuat daripada plastik di negara ini seperti yang ditularkan dalam media sosial ketika ini.

    Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setakat ini hasil pemeriksaan dan siasatan yang dilakukan mendapati tiada kes seperti itu berlaku.

    Katanya, susulan dakwaan terbaharu kononnya beras jenama terkenal diperbuat daripada plastik, pihak kementeriannya telah melakukan siasatan di kilang beras itu dua hari lalu dan mendapati beras yang dikeluarkan adalah asli dan diambil sendiri dari petani dan pemborong.

    "Namun begitu pihak kementerian turut menghantar sampel beras yang diambil di kilang itu untuk mendapatkan pengesahan.

    "Setakat ini maklumat yang diterima lebih kepada gambar dan video yang diviralkan dan menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat kita tetapi sehingga sekarang tidak ada suatu (dakwaan) yang benar-benar konkrit sebaliknya dakwaan cuma berdasarkan gambar," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penjualan beras plastik berkenaan.

    Beliau berkata demikian selepas menziarah seorang kanak-kanak berusia lima tahun, Ahmad Aidil Adroy Adenan yang melecur selepas terkena percikan api sampah di Kampung Titian Berayun, Kijal, hari ini.

    Ketika ini tular di media sosial satu video dan gambar pengguna memasak beras jenama terkenal sebelum nasi itu digumpal bagi membuktikan kononnya ia diperbuat dari bahan plastik. - SH

    Subjects:

  • No Comment to " Tular Beras Plastik, MOA Minta Jangan Panik "