• Sultan Pahang Zahir Rasa Dukacita Nahas Pesawat Hawk 108

    Published: Friday, 16 June 2017
    A- A+

    KUANTAN: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah malam ini berkenan mencemar duli berangkat menziarahi jenazah dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108, di Chukai, Terengganu semalam.

    Walaupun dalam keuzuran, baginda yang juga Kolonel Yang Dipertua TUDM tetap berangkat ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan keadaan berkerusi roda dan meluangkan masa lebih sejam bertemu anggota keluarga kedua-dua mangsa.

    Ketibaan baginda pada 10 malam disambut Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang sebelum itu tiba lebih awal.

    Tengku Abdullah yang ditemui selepas itu merakamkan ucapan takziah bagi pihak ayahanda baginda dan seluruh keluarga yang berasa amat dukacita dengan nahas berkenaan.

    "Saya minta anggota keluarga kedua-dua juruterbang berkenaan agar dapat bersabar dengan ketentuan Ilahi ini. Kita harap Allah akan memberkati roh kedua-dua wira negara ini yang sanggup membuat latihan dalam bulan puasa.

    "Ini merupakan satu kehilangan buat TUDM, pada negara dan Allah lebih sayang pada mereka," titah baginda.

    Suasana di perkarangan Unit Forensik dipenuhi dengan anggota tentera dan kaum keluarga kedua-dua juruterbang berkenaan sejak petang lagi dan lengang seketika semasa masuk waktu berbuka puasa.

    Namun ia kembali dipenuhi kaum keluarga kedua-dua mangsa pada 9 malam dengan kehadiran ibu bapa Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, yang terkorban ketika menjalani latihan udara berkenaan.

    Suasana tenang bertukar hiba apabila anak sulung Yazmi, Mikhail Adam Riaz, 11, tidak dapat menahan rasa sebak mengenangkan kejadian yang menimpa ayahnya itu tatkala umat Islam bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

    Ia menyebabkan Tunku Azizah yang tersentuh hati dengan keadaan itu beberapa kali memujuk dan memeluk Mikhail bagi menenangkannya.

    Jasad kedua-dua juruterbang berkenaan ditemui pada jarak 20 meter antara satu sama lain dalam keadaan lengkap berpayung terjun di kawasan hutan berpaya berhampiran Chukai, Kemaman kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan TUDM, Kuantan.

    Mangsa yang berkhidmat untuk pasukan No 6 Skuadron Pangkalan TUDM, Labuan, Sabah sebelum itu dilaporkan terputus hubungan pada 11.30 pagi sejurus selepas berlepas dari Pangkalan TUDM, Kuantan pada pukul 11 pagi. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sultan Pahang Zahir Rasa Dukacita Nahas Pesawat Hawk 108 "