• Sukan SEA: Skuad Ragbi Tekad Tebus Kecewa

    Published: Tuesday, 27 June 2017
    A- A+

    KOTA TINGGI: Skuad ragbi negara sedang giat menjalani latihan demi memastikan usaha mereka untuk merampas pingat emas daripada Filipina akan tercapai pada temasya Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Ogos ini.

    Jurulatihnya, Mohd Saizul Hafifi Md Noor berkata barisan pemain kini berada pada prestasi terbaik dan kemenangan yang disasarkan itu tentunya akan mencipta sejarah sukan ragbi negara.

    “Memang menjadi impian persatuan ragbi dan Majlis Sukan Negara untuk kita mendapatkan emas, tetapi fokus utama kita buat masa ini untuk layak ke perlawanan final…sekiranya kita berjaya sampai ke peringkat itu, kita akan buat yang terbaik untuk tidak mengecewakan kontinjen negara.

    “Intensiti latihan pada bulan Ramadan kita kurangkan sedikit di waktu petang tetapi ia tetap sama pada waktu malam dan kembali seperti sediakala selepas sambutan Aidilfitri. Latihan ini akan kita kekalkan sehingga ke Sukan SEA,” katanya dalam temu ramah di sini.

    Menurutnya, beberapa perlawanan persahabatan bersama kelab-kelab ragbi tempatan diatur bagi menguji tahap persediaan skuad ragbi tujuh sebelah itu.

    “Kita berharap dengan memberikan latihan kepada pemain dengan fasiliti yang mencukupi, ia akan dapat memberi impak yang tinggi kepada pemain bersaing dengan pasukan lawan pada temasya dwitahunan itu yang bermula 19 hingga 30 Ogos ini,” katanya.

    Mohd Saizul Hafifi berkata prestasi pelatih dalam skuad berada pada tahap terbaik tanpa sebarang masalah kecederaan dan kini saingan hangat dalam kalangan 14 pelatih untuk disenaraikan dalam skuad 12-pemain pada temasya sukan itu.

    Senarai muktamad 12 pemain akan diserahkan kepada persatuan sebelum akhir minggu ini, katanya.

    Dalam pada itu, kapten pasukan, Zulkiflee Azmi, yang akan membuat penampilan kedua di Sukan SEA, bertekad untuk tidak mengulangi kegagalan pada Sukan SEA lepas.

    Skuad ragbi tujuh sebelah negara meraih pingat perak pada Sukan SEA 2015 di Singapura selepas tewas kepada Filipina dalam aksi final.

    “Pencabar utama kita sekarang adalah Filipina dan kami akan cuba buat strategi baharu untuk menumpaskan Filipina dan memastikan pasukan kita berjaya membawa pulang pingat emas,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sukan SEA: Skuad Ragbi Tekad Tebus Kecewa "