• Spiderman Tunai Kewajipan Bayar Zakat Fitrah

    Published: Thursday, 15 June 2017
    A- A+


    KUCHING – Bagi umat Islam yang sibuk dengan urusan harian, mungkin kisah Spiderman ini yang lebih padat jadual dengan aktiviti duniawi boleh ‘buka mata’ tentang kewajipan bayar zakat fitrah.

    Bagi Muslim, memang wajib menunaikan rukun ketiga itu apatah lagi pada bulan Ramadan, ramai berpusu-pusu menemui amil yang diberi kuasa mengutip zakat untuk membayar sama ada untuk diri sendiri atau tanggungan.

    Ini termasuk ‘Spiderman’! Sejak semalam, tular menerusi media sosial mengenai kelibat ‘Spiderman’ yang tampil membayar zakat fitrah, sekali gus mencuri perhatian ramai pengunjung sebuah pusat beli belah di sini.

    Menurut laporan laman Berita Harian, adiwira itu sebenarnya ialah Harris Fazri Hashim, yang berusia 40 tahun dan kebetulan menyertai pertandingan ‘Kostum Hari Raya’ di Majma Mall, Kompleks Islam Kuching pada Ahad lalu.

    Menurut lelaki tersebut, beliau sendiri tidak menyangka tindakan spontannya hadir membayar zakat di meja amil pusat beli-belah berkenaan sambil memakai kostum ‘superhero’ popular Barat itu menarik perhatian ramai.

    “Saya selalu diingatkan isteri agar tidak lupa bayar zakat fitrah kerana sudah lebih dua minggu berpuasa. Sejurus saya mahu meninggalkan pusat beli belah berkenaan, saya ternampak satu kaunter pembayaran zakat fitrah.

    “Maka saya terus mengambil keputusan untuk segera menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim,” kata Harris yang dipetik laman akhbar harian tersebut. Foto itu sebenarnya dirakamkan isterinya, Fazlyn Aishah Fazsha.

    Wanita berkenaan kemudian memuat naik gambar suaminya itu menerusi laman Facebooknya dengan keterangan ringkas termasuk dalam dialek Sarawak iaitu: “Neman Spiderman Mayar Zakat : suamikuspiderman“.

    Walaupun menganggap diri sudah agak ‘tua’ untuk bergaya dengan kostum adiwira, namun ia menjadi pengalaman manis buat Harris kerana kali pertama beliau mampu membayar zakat fitrah dengan berpakaian sedemikian.

    “Amil yang berada di kaunter pembayaran berkenaan pun tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap saya dan tidak pula seorang kekok melihat saya,” kata beliau lagi sambil tersenyum. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Spiderman Tunai Kewajipan Bayar Zakat Fitrah "