• 'Saya Tidak Akan Merempit Lagi'

    Published: Thursday, 22 June 2017
    A- A+

    MELAKA: “Saya tidak akan merempit lagi. Taubat tidak akan terbabit dalam dunia motor yang hampir meragut nyawa sendiri,” kata bekas mat rempit hanya mahu dikenali sebagai Zai, berusia 33 tahun.

    Rasa insaf pemuda itu timbul selepas dia koma selama tiga bulan dan terlantar di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama setahun akibat terbabit dalam kemalangan ketika berlumba di satu lokasi di Kuala Lumpur.

    Kejadian berlaku hampir 15 tahun lalu itu juga menyebabkan dia hilang pekerjaan akibat cedera parah di kepala, badan, kaki, tangan dan mata.

    Katanya, ketika sedang memecut, seorang pelumba tiba-tiba menendang motosikal ditunggang menyebabkan dia terbabas dan cedera parah.

    “Akibat kejadian itu saya terpaksa makan dan menelan ubat-ubatan menggunakan tiub ditebuk pada leher. Menu untuk saya sepanjang di HKL hanyalah nasi bubur dan air kosong.

    “Kesan akibat kemalangan, sampai sekarang saya sukar bertutur dengan lancar. Sepanjang tempoh sama saya juga menjalani lebih daripada 10 pembedahan sebelum tahap kesihatan semakin baik.

    “Namun semuanya sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur. Jika tahu ini kesudahannya sudah pasti saya tidak mahu terbabit dalam perlumbaan haram,” katanya yang kini menetap di kampung Paya Emas, Paya Rumput, di sini.

    Zai menganggap aktiviti mat rempit sebagai melalaikan, malah keseronokan dinikmati hanyalah sementara selain merugikan berikutan perlu berhabis untuk mengubah suai motosikal.

    Demi melayan darah muda dan mahu menang dalam perlumbaan, dia juga sanggup melakukan apa saja jenis ubah suai disyorkan mekanik walaupun kosnya agak tinggi.

    Malah dia juga tidak kisah dengan keselamatan diri apabila melakukan gaya tunggangan berbahaya seperti mengangkat tayar belakang, mengangkat tayar depan (wheelie), menunggang dengan kaki menghala ke atas serta gaya Superman.

    “Apapun, saya bersyukur kini dapat bekerja secara sambilan di kedai menjual barangan elektrik di Melaka. Saya berasa amat gembira atas sokongan keluarga, majikan dan rakan.

    “Akibat kemalangan saya menjadi orang kurang upaya (OKU) kerana sukar bercakap dan tempang, malah sampai sekarang saya masih berasa sakit pada seluruh badan,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • 1 comment to '''Saya Tidak Akan Merempit Lagi'"

    ADD COMMENT
    1. Dah jd OKU patutlah taknak merempit lagik!

      ReplyDelete