• Sarawak Setuju Laksana Cukai Pelancongan

    Published: Thursday, 22 June 2017
    A- A+


    PETRA JAYA: Kerajaan negeri menerima pelaksanaan cukai pelancongan baharu, yang akan dikuatkuasakan mulai bulan depan.

    Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata keputusan itu dibuat selepas ianya dibincangkan pada mesyuarat Kabinet negeri, di sini, hari ini.

    Abdul Karim berkata, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, berharap agar kutipan cukai baharu dari hotel di Sarawak akan diagihkan terus kepada kerajaan negeri dan bukannya melalui agensi lain.

    "Pada mesyuarat hari ini, Ketua Menteri (Abang Johari) memberitahu beliau menyatakan kebimbangannya terhadap pelaksanaan cukai pelancongan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    "Bagaimanapun, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kutipan cukai baharu itu akan diagihkan kepada tiga wilayah iaitu Sarawak, Sabah dan Semenanjung," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Baitul Makmur di sini, petang ini.

    Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Negeri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pelancongan Sarawak, Datuk Ik Pahon Joyik.

    Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga mengalu-alukan rancangan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengecualikan cukai bagi penduduk tempatan yang menginap di hotel yang diberi penarafan tiga bintang ke bawah.

    Beliau merujuk kenyataan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, baru-baru ini mengenai cadangan untuk mengecualikan penduduk tempatan yang tinggal di hotel bertaraf tiga dan ke bawah dari membayar cukai.

    Mulai 1 Julai ini, cukai sebanyak RM2.50 akan dikenakan terhadap untuk hotel yang tiada penarafan bintang; RM5 untuk hotel dua bintang, RM10 untuk hotel tiga bintang, RM15 untuk hotel empat bintang dan RM20 untuk hotel lima bintang.

    Bagaimanapun, Abdul Karim berkata, beliau tidak pasti sama ada semua hotel di negeri ini sudah dibuat penilaian.

    "Saya juga berharap agar pengusaha hotel di negeri ini akan diberi taklimat mengenai mekanisme pungutan cukai itu," katanya. - BH
  • No Comment to " Sarawak Setuju Laksana Cukai Pelancongan "