• Sabah, Sarawak Industri Pelancongan Manfaat

    Published: Saturday, 24 June 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah mempelawa Kementerian Pelancongan Sarawak membincangkan beberapa isu penting berkaitan Cukai Pelancongan dan mengambil pendirian bersama atas semangat kerjasama dengan negeri berjiran itu.

    Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata hasil perbincangan itu akan dikemukakan kepada ketua menteri dan Kabinet negeri masing-masing dalam bentuk draf memorandum untuk diserahkan pula kepada kerajaan persekutuan untuk dipertimbangkan.

    “Memorandum bersama itu akan diserahkan kedua-dua ketua menteri kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), yang juga Menteri Kewangan. Cukai Pelancongan (yang akan dilaksanakan mulai 1 Julai), terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata Kementerian Pelancongan negeri juga ditugaskan mengadakan perbincangan lanjut tentang beberapa isu penting berkaitan akta itu dan melaporkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Kabinet negeri dapatan dan cadangan mereka.

    Kabinet negeri yang bermesyuarat semalam berpendapat beberapa isu penting berkaitan akta itu perlu dibincang secara terperinci bagi memastikan industri pelancongan Sabah mendapat manfaat daripadanya, kata beliau.

    “Industri pelancongan merupakan industri yang sangat bingkas dan kadangkala menjadi penyelamat ekonomi kami pada waktu mencabar. Bagi Sabah, ia merupakan satu-satunya industri utama yang dikuasai penduduk tempatan dari segi guna tenaga. Oleh itu, industri ini perlu diurus dan dikawal selia dengan cara yang amat baik,” kata Masidi.

    Sementara itu, di KUCHING, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan negeri itu menyambut baik cadangan untuk mengecualikan rakyat Malaysia daripada membayar cukai pelancongan apabila mereka menginap di hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

    Katanya, pengecualian itu akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia kerana terdapat lebih banyak hotel seperti itu di negara ini, terutama di Sarawak.

    “Apa yang kami mahu ialah wang yang dikutip melalui cukai pelancongan digunakan untuk mempromosi pelancongan, bukan untuk tujuan lain,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet negeri semalam.

    Ditanya bagaimana Sarawak bercadang menggunakan wang yang dikutip melalui cukai pelancongan itu, beliau berkata negeri itu mempunyai lembaga pelancongan sendiri (Lembaga Pelancongan Sarawak), yang akan mengenal pasti cara untuk menyalurkan wang berkenaan bagi mempromosi pelancongan negeri.

    Rang Undang-udang Cukai Pelancongan diluluskan Parlimen pada April 2017.

    – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sabah, Sarawak Industri Pelancongan Manfaat "