• Rusia Ancam Tembak Jatuh Jet Tempur AS

    Published: Tuesday, 20 June 2017
    A- A+


    MOSCOW: Rusia mengancam untuk 'melayan' pesawat pejuang Amerika Syarikat (AS) sebagai sasaran di kebanyakan kawasan di Syria.

    Perang saudara di negara Asia Barat itu sudah memasuki tahun ketujuh dan semakin menggugat kestabilan serantau.

    Malah tindakan AS menembak jatuh pesawat tentera Syria pada Isnin, memburukkan lagi keadaan apabila Presiden Rusia, Vladimir Putin mahu menjadikan jet pejuang tentera bersekutu sebagai sasaran.

    Tentera bersekutu yang diketuai AS, menyokong kumpulan penentang untuk memerangi rejim Presiden Bashar al-Assad manakala Moscow pula menyokong kerajaan Syria.

    AS menembak jatuh pesawat tentera Syria kerana mendakwa ia menggugurkan bom di kawasan sekutu Washington.

    Kini Moscow menerusi Kementerian Pertahanannya berkata, mana-mana pesawat tentera bersekutu yang melintasi Sungai Euphrates akan ditembak jatuh.

    Negara jiran Syria seperti Jordan menyertai tentera pakatan AS dan negara-negara Teluk termasuk Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

    Kini mereka berada di bawah ancaman tentera udara Rusia.

    Kremlin juga meminta AS memberi penjelasan penuh berhubung insiden menembak jatuh pesawat SU-22.

    Tiada sebarang maklum balas diberikan oleh Pentagon atas permintaan Moscow itu. - mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Rusia Ancam Tembak Jatuh Jet Tempur AS "