• Rombakan Besar-besaran Naikkan Imej PDRM

    Published: Tuesday, 13 June 2017
    A- A+


    SHAH ALAM - Rombakan besar-besaran melibatkan peringkat tertinggi dalam semua jabatan dalam Polis Diraja Malayasia (PDRM) dapat menaikkan semula imej badan berkuasa itu susulan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan beberapa anggotanya di Melaka, bulan lalu.

    Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan tersebut wajar diberi pujian dan disokong oleh masyarakat.

    “Rombakan dalam sesuatu jabatan selalunya untuk menambah baik sesuatu jabatan. Ia menentukan strategi pasukan terbabit dalam usaha bagi menangani ancaman yang serius dalam negara,” katanya kepada Sinar Harian.

    Selain rombakan dilakukan disebabkan sesuatu isu yang tidak baik dalam PDRM, menurutnya, matlamat rombakan itu juga adalah untuk meletakkan pegawai yang berwibawa dan berintegriti untuk menentukan perkhidmatan yang terbaik boleh diberikan kepada masyarakat.

    Dalam pada itu, Musa menjelaskan bahawa selain tindakan menukar seseorang anggota yang melakukan apa-apa kesalahan, PDRM turut akan mengenakan tindakan disiplin terhadap anggota terbabit, jika anggota itu didapati bersalah.

    “Mana-mana pegawai yang kita dapati melakukan tindakan yang boleh menjatuhkan maruah PDRM, jadi kita (PDRM) boleh tukarlah.

    “Bukan sahaja tukar, malah tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap pegawai yang terlibat,” ujarnya.

    Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa PDRM akan melakukan rombakan besa-besaran, melibatkan peringkat tertinggi dalam semua jabatan dalam agensi penguat kuasa terbabit.

    Beliau berkata, rombakan berkenaan dijangka dilakukan selepas Aidilfitri, namun enggan memberikan maklumat terperinci berhubung perkara tersebut. - SH

    Subjects:

  • No Comment to " Rombakan Besar-besaran Naikkan Imej PDRM "